Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ABIM: Jakim relevan tapi perlu 'disegarkan'
Diterbitkan:  May 31, 2018 2:28 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap relevan dan penting.

Ini, kata NGO itu, terutamanya untuk membentuk kefahaman Islam yang lebih menyeluruh sesuai dengan persoalan pemikiran, fikah serta syariah, sosio ekonomi dan politik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kata presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim, peranannya perlu disegarkan sesuai dengan tugasnya menyelaras penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak, hal ehwal pentadbiran dan pembangunan Islam.

“Tanpa menafikan sumbangan serta peranan jakim yang cukup besar sebelum ini, abim merasakan badan tersebut perlu lebih ke hadapan serta inklusif untuk mengangkat tema al-islam rahmatun lil alamin yang bersifat lebih inklusif dengan pelbagai pihak termasuk dengan masyarakat bukan islam serta isu-isu sensitif,” kata Raimi.

ABIM juga menggesa Jakim lebih proaktif mengetengahkan perbincangan pemikiran Islam kontemporari.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kerajaan akan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan untuk membincangkan masa depan Jakim.

Perdana menteri berkata langkah itu diambil kerana Islam di negara ini sudah digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.

Pengkritik percaya ia adalah alasan untuk membubarkan badan yang diletakkan bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu.

Lihat Komen
ADS