Spekulasi timbul susulan Anwar mengadap Raja-raja Melayu
Tindakan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap beberapa sultan dan kerabat diraja baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
"Tidak. Tidak apa-apa yang tidak kena dengan pertemuan itu,” kata seorang pemimpin PKR kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.
"Umum mengetahui bagaimana pandangan sultan-sultan terhadap (Perdana Menteri Dr) Mahathir (Mohamad). Jadi, ini biasa (bagi sultan untuk merujuk dengan Anwar).
"Sekiranya Anwar dijemput dan diberi perkenan untuk mengadap, dia tidak boleh menolak," katanya.
Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, pemimpin PKR itu juga menafikan bahawa Anwar turut mengakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Umno.
Dakwanya, sesetengah pihak menimbulkan spekulasi berkenaan dengan tujuan untuk memburuk-burukan bekas pemimpin pembangkang itu.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada terdapat orang dalaman atau luaran di sebalik kempen ini.
Kedua-dua mereka membentuk satu pakatan sebelum pilihan raya umum lalu dan bersetuju bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun.
Walau bagaimanapun, Dr Mahathir kemudian menjelaskan bahawa kerangka masa untuk beliau menyerahkan kuasa itu bukannya sesuatu yang muktamad kerana ada perkara yang perlu dilakukannya sebelum berbuat demikian.
Anwar juga dilihat tidak mahu berterus terang dalam isu berkenaan dan berkata bahawa rancangannya selepas pembebasan dari penjara adalah untuk menyampaikan siri syarahan di luar negara.
Pagi ini, Anwar diperkenan mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sebelum ini, beliau mengadap Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ibrahim dan Putera Mahkota Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Pada 24 Mei lalu, Anwar dan keluarganya turut mengadap bonda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Tuan Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota di Kubang Kerian, Kelantan.
Ini mencetuskan spekulasi bahawa anak Anwar yang juga adalah naib presiden PKR Nurul Izzah dijadual akan berkahwin dengan Sultan Muhammad V, tetapi Nurul dan ibunya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menolaknya sebagai berita palsu.

