Prestasi perniagaan dalam suku kedua 2018 (SK18) dijangka meningkat dengan petunjuk keyakinan pada +7.8 peratus, terutamanya di sektor industri (+9.9%), perdagangan borong dan runcit t (+7.4%) dan perkhidmatan (+8.6%).

Hasil kasar pada suku tahun kedua 2018 pula dijangka terus meningkat dengan 34.0 peratus pertubuhan menjangkakan peningkatan manakala 11.4 peratus mengunjurkan penurunan dan imbangan bersih yang dicatatkan adalah +22.6 peratus, kata kenyataan Jabatan Perangkaan mengenai Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Kedua 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Dari segi bilangan pekerja, 8.7 peratus pihak atau pertubuhan menjangkakan peningkatan manakala 7.9 peratus pula menjangkakan penurunan pada suku kedua 2018 yang mendorong kepada imbangan bersih +0.8 peratus.

Selain itu, keadaan semasa prestasi perniagaan bagi suku pertama 2018 mencatat penurunan dengan imbangan bersih keseluruhan bagi semua sektor menguncup -1.2 peratus pada suku pertama 2018.

“Penurunan ini disumbangkan oleh sektor industri (-3.1%), pembinaan (-31.1%) dan perdagangan borong & runcit (-1.5%).

“Hasil kasar pada suku tahun pertama 2018 meningkat dengan imbangan bersih +2.6 peratus yang mana 26.0 peratus pertubuhan melaporkan peningkatan manakala 23.4 peratus pula mengalami kemerosotan,” kata jabatan itu.

Dari segi bilangan pekerja, sebanyak 11.8 peratus pertubuhan berkata terdapat peningkatan manakala 12.9 peratus kumpulan itu melaporkan penurunan.

Selain itu, sebanyak 75.3 peratus pertubuhan pula melaporkan tiada perubahan dalam bilangan pekerja. Secara keseluruhannya, imbangan bersih -1.1 peratus direkodkan bagi bilangan pekerja pada suku tahun pertama 2018 berbanding 10.8 peratus pada suku keempat 2017.

Jangkaan prestasi perniagaan kekal positif dengan imbangan bersih +4.4 peratus pada April hingga September 2018.

Sektor perdagangan borong & runcit serta perkhidmatan dijangka meningkat dengan imbangan bersih masing-masing +9.5 peratus dan +15.3 peratus.

Menurut jabatan itu, keadaan sebaliknya bagi sektor industri dan pembinaan yang mencatatkan penurunan dengan imbangan bersih masing-masing pada -0.3 peratus dan -26.6 peratus.

- Bernama