Pasukan petugas khas 1MDB Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam siasatan skandal membabitkan firma pelaburan negara itu.

Persetujuan dicapai dalam pertemuan pasukan petugas khas kedua-dua negara di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

"Mesyuarat hari ini telah bersetuju agar kedua-dua pihak bekerjasama bagi membawa pulang sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada 1MDB.

"Kerjasama kedua-dua pihak juga bertujuan mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi di Singapura secepat mungkin. Pasukan juga akan melakukan 'jejak wang' (money trail) bagi mengesan wang dan aset yang masih wujud," kata pasukan petugas khas 1MDB Malaysia dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sejumlah sembilan pegawai kanan siasatan Singapura hadir, terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Komersial, dan Autoriti Kewangan.

Pasukan petugas khas 1MBD pula diwakili semua anggotanya, iaitu bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Terdahulu, mereka telah bertemu dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.

Singapura telah mengambil tindakan terhadap beberapa bank dan pegawainya kerana terlibat dalam transaksi berkaitan 1MDB, termasuk menutup BSI Bank dan Falcon Bank.