Mukhriz gagal saman fitnah terhadap Tunku Abdul Aziz
Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah yang difailkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terhadap bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung dakwaan wujudnya pakatan sulit yang menjanjikan Mukhriz sebagai perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.
Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati dua kenyataan yang dibuat Tunku Abdul Aziz, masing-masing pada 30 Dis 2016 dan 3 Jan 2017, adalah tidak bersifat memfitnah dan tidak menyerang integriti dan kredibiliti Mukhriz selaku plaintif dalam saman berkenaan.
Nordin di dalam penghakimannya berkata dua kenyataan yang dibuat oleh Tunku Abd Aziz tidak mendedahkan Mukhriz kepada kebencian dan hinaan yang boleh merendahkannya pada pandangan masyarakat.
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat defendan pada maksud semulajadi tidak boleh dikatakan seperti mana yang dinyatakan plantif di dalam tuntutannya, antara lain bahawa plaintif tidak telus dan jujur dalam karier politiknya, membelakangkan rakan politik dengan menyembunyikan pakatan rahsia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi perdana menteri,” katanya.
Hakim itu berkata mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan pada imbangan keberangkalian.
“Dengan itu, tuntutan saman plaintif ditolak dan beliau diperintah membayar kos RM15,000 kepada defendan,” katanya.
Pada 7 Feb 2017, Mukhriz yang ketika itu bekas Menteri Besar Kedah memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Dis 2016, defendan telah mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang’ yang dilaporkan dalam blog AIDCNews.
Beliau mendakwa pada 1 Jan 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.
Bagaimanapun, pada 3 Jan 2017, defendan menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah’ yang diterbitkan dalam sebuah portal.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada ingin merayu terhadap keputusan hari ini.
- Bernama

