Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Nazmi, Syed Saddiq patut terajui KBS, gesa AMK
Diterbitkan:  May 31, 2018 4:27 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) menggesa gandingan dua tokoh muda HARAPAN untuk menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta berharap gabungan idea dan tenaga orang muda bersama pengalaman orang lama, mampu melahirkan kekuatan khususnya dari sudut pentadbiran negara.

"Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) selayaknya diberi peluang menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

"Manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula wajar diketengahkan sebagai timbalan menteri belia dan sukan," kata Penolong Setiausaha AMK, Syed Badli SHah Syed Osman dalam suatu kenyataan hari ini.

Syed Badli juga mendakwa isu penyelewengan dana RM100 juta melibatkan pegawai KBS menjadi bukti kelemahan urus tadbir menteri terdahulu.

"Umum mengetahui kementerian ini dahulu diterajui oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

"Isu penyelewengan dana 100juta melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan adalah satu bukti kelemahan urustadbir KJ (Khairy Jamaludin) dalam menerajui kementerian tersebut.

Setiausaha AMK Selangor itu turut yakin dengan gandingan kedua-dua pemimpin muda HARAPAN ini.

"Seorang anak muda yang segar dengan idea-idea bernas, tentunya gandingan beliau (Syed Saddiq) bersama Nik Nazmi mampu memperkukuhkan peranan belia di negara ini.

"Saya yakin gandingan mantap ini akan berjaya mengangkat peranan belia ke satu tahap yang jauh lebih baik dari yang sebelumnya. Justeru itu sudah sampai masanya Pakatan Harapan mengiktiraf peranan anak muda dengan mengangkat mereka yang layak untuk berada dalam kabinet," kata Syed Badli (gambar) lagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, pada 21 Mei lalu.

Istiadat itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Bagaimanapun, Dr Mahathir belum menamakan portfolio KBS dalam kabinet menteri HARAPAN.

Pengerusi HARAPAN dalam usia 92 tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.

Dr Mahathir dilaporkan bakal menamakan anggota kabinet pentadbiran HARAPAN secara berperingkat.
 

Lihat Komen
ADS