Syarat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara mungkin akan diperketatkan dengan mewajibkan para siswazah berkenaan berkhidmat dengan kerajaan terlebih dahulu sebelum menyertai sektor swasta.

Kementerian Sumber Manusia akan mencadangkan syarat baru itu kepada kabinet tidak lama lagi.

Menteri berkenaan Datuk Dr Fong Chan Onn berkata langkah itu adalah untuk memastikan setiap siswazah, terutama lulusan bidang profesional berkhidmat dengan sektor awam sebelum memilih bekerja di sektor swasta atau luar negara.

"Kita akan mengkaji semula peraturan yang ada supaya siswazah dalam bidang profesional bekerja dengan kerajaan dua hingga tiga tahun sebelum bekerja di sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tokong Mar Chor Ser Man di Parit Buaya, Jalan Kim Kee.

Menurut laporan Bernama, Dr Fong berkata siswazah berkenaan harus sedar bahawa kerajaan telah berkorban dengan menghantar mereka belajar ke luar negeri dan sebagai balasannya mereka harus bersedia berkhidmat dengan kerajaan sekembalinya ke tanah air.

Mengenai skim latihan semula siswazah menganggur, beliau berkata setakat ini seramai 7,800 orang daripada 60,000 siswazah memohon untuk mengikuti skim latihan itu.

Katanya, majoriti daripada mereka memohon untuk menyertai latihan lanjutan dalam bidang penguasaan Bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan kesukaran mereka mendapat pekerjaan.