Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis nafi kenyataan kehilangan Amri babitkan SB
Diterbitkan:  May 31, 2018 5:33 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Anggota polis yang didakwa membabitkan penglibatan polis Cawangan Khas (SB) dalam penculikan aktivis yang hilang, Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh dilaporkan menafikan berbuat demikian.

Pemberitahu maklumat, Shamzaini Mohd Daud dari polis cawangan khas Perlis, dilaporkan membuat laporan polis mengakui telah bertemu dengan isteri Amri Norhayati Mohd Daud pada malam 12 Mei.

Walau bagaimanapun, beliau mendakwa tujuan kunjungan itu tiada kaitan dengan kehilangan Amri, tetapi hanya untuk bertanyakan mengenai menyewa sebuah unit kedai yang dimilikinya bagi menjalankan perniagaan sampingan.

Anggota polis berkenaan berkata kunjungannya ke rumah isteri aktivis yang hilang itu tiada kaitan dengan kes Amri.

Satu salinan laporan polis Shamzaini dilaporkan diserahkan kepada Norhayati oleh ketua polis Sentul R Munusamy semasa pemeriksaan balas dalam sesi siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Norhayati berkata, "tidak tahu apa-apa mengenai laporan (polis) ini," selepas membacanya, lapor The Malaysian Insight yang memetiknya memberitahu panel Suhakam.

Difahamkan Norhayati juga menegaskan bahawa laporannya pada malam 12 Mei adalah betul.

Semalam, Norhayati memberi keterangan berkata Shamzaini telah datang ke rumahnya kira-kira jam 10.30 malam untuk memberitahunya pasukan Cawangan Khas dari Bukit Aman telah menculik Amri atas dakwaan beliau terlibat ajaran Syiah dan aktiviti perdagangan forex.

Beliau berkata Shamzaini juga memberitahunya pasukan yang sama juga terbabit dalam penculikan Koh dan melibatkan beberapa pegawai polis termasuklah ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Siasatan Suhakam hari ini juga menyaksikan keterangan diberikan rakan keluarga Amri, Aizat Zahid, yang juga anggota NGO Perlis Hope yang diasaskan oleh Amri.

Sebelum ini, Norhayati memberi keterangan Aizat ialah antara orang yang dihubunginya segera selepas pertemuan dua setengah jam dengan Shamzaini berakhir dan Aizat tiba di rumahnya tidak lama kemudian.

Pertanyaan sewa kedai 

Apabila disoal peguam keluarga Amri, Jerald Gomes, Aizat berkata Norhayati tidak pernah menyebut pertanyaan Shamzaini tentang kedai runcitnya dan hanya bercakap mengenai apa yang dikatakannya berkenaan Amri dan Koh.

Beliau berkata "tidak masuk akal" bagi Shamzaini untuk menanyakan tentang kedai pada larut malam kerana ini boleh dilakukan pada siang hari dan Norhayati hanya mempunyai satu kedai yang sudah dipajak oleh rakannya, Farid ini selama 10 tahun.

Bagaimanapun, pengerusi panel siasatan, Datuk Mah Weng Kwai menghentikan soalan sedemikian berkata ia cuma spekulasi.

"Ia tidak semestinya tidak masuk akal. Walaupun sudah disewa, seseorang masih boleh membuat pertanyaan.

"Marilah kita (selidik) buat rumusan . Jika tidak, ini spekulasi semata-mata," katanya.

Pendengaran akan disambung semula pada 7 Jun. Panel siasatan Suhakam ditubuhkan untuk menentukan sama ada kehilangan Amri, Koh, Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu, tertakluk di bawah takrifan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).
 
Koh telah diculik pada 13 Februari tahun lepas, manakala Amri diculik pada 24 November 2016. Joshua dan isterinya Ruth terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Lihat Komen
ADS