Bank Negara nafi terlebih bayar MOF dalam pembelian tanah
Bank Negara Malaysia menafikan dakwaan bahawa ia terlebih bayar bagi pembelian sebidang tanah daripada Kementerian Kewangan (MOF) pada harga RM2.066 bilion.
Dakwaan itu pertama kali dilaporkan oleh akhbar The Star, yang melaporkan bahawa harga RM2.066 bilion berkenaan adalah jauh melebihi nilai pasaran.
"Saiz tanah yang dipetik dalam artikel itu tidak tepat.
"Seperti siaran media Bank Negara Malaysia pada 4 Januari 2018, berhubung pembelian tanah itu, adalah dinyatakan bahawa saiz tanah yang diperolehi adalah sebanyak 55.79 ekar.
"Pembelian itu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak berdasarkan harga pasaran dan disokong oleh sebuah firma penilaian hartanah sektor swasta," kata Bank Negara dalam satu kenyataan yang diterbitkan hari ini di FactWatch.my, sebuah inisiatif oleh bank pusat.
Artikel itu juga mendakwa bahawa tanah berkenaan dikategorikan sebagai tanah pertanian, bangunan atau kediaman, yang bermaksud Bank Negara terpaksa membayar jumlah yang besar untuk yuran penukaran jika berhasrat untuk membina sebuah pusat latihan di sana.
Bank Negara menafikannya, dengan berkata, status tanah itu kini diklasifikasikan sebagai tanah untuk tujuan institusi di bawah Rancangan Bandar KL 2020.
Oleh itu, tiada sekatan untuk tanah berkenaan digunakan untuk tujuan institusi dan tidak ada keperluan untuk menukar statusnya.

