Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PDRM dapatkan kerjasama polis Indonesia buru Jamal
Diterbitkan:  May 31, 2018 11:17 PM
Dikemaskini: 9:51 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dipercayai telah melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Jamal yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar dipercayai sudah meloloskan diri ke Tanjung Balai, Karimun Besar, Indonesia, dua hari selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada hari Jumaat.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PDRM sedang mempergiatkan usaha bagi mengesan seterusnya membawa Jamal pulang semula ke negara ini.

"Saya meminta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau yang katanya dia berada di Indonesia... jadi kita akan minta bekerjasama dengan pihak polis di sana mencari beliau untuk membawa ke sini.

"Apa-apa pun, kalau beliau ada apa-apa kesalahan yang dilakukan saya serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas program penerapan nilai murni bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Kajang semalam.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan PDRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal dan usaha bagi mengesannya diperhebatkan.

Ini selepas Jamal masih gagal memberikan respons sepatutnya walaupun telah diberikan masa yang cukup untuk memberi kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan.

Kelmarin, Jamal menerusi satu rakaman video berdurasi hampir lapan minit yang diedarkan kepada media mendakwa terdapat usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa mengarahkan pihak polis untuk mengenakan beliau dalam apa jua keadaan walaupun pihak polis memberi jaminan bahawa beliau cuma diperlukan untuk melengkapkan dokumentasi jaminan polis.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh penolong pendaftar mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS