Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dibebaskan dengan bon tingkah laku baik

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bon tingkah laku baik RM10,000 selama dua tahun atas sabitan kesalahannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sebelum ini, Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan MDB pada sidang akhbar di Parlimen.

Panel tiga anggota yang diterajui oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan bon tingkah laku baik setelah Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah cadangan yang dibuat oleh peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid.

Ahmad Nizam berkata mereka tidak merayu terhadap sabitan kesalahan itu tetapi mengenai hukuman itu.

Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah Datuk Ab Karim Ab Rahman dan Datuk Kamardin Hashim.

Ahli Parlimen Johor Bahru Ahmad Kamal Nasir kemudiannya bertindak sebagai penjamin untuk Rafizi.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan salah satu sabitan terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan ahli Parlimen Pandan itu terhadap satu lagi sabitan OSA.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Rafizi atas dua pertuduhan OSA dan menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara, dengan hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Pemimpin PKR itu didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai OSA.

Dia didapati bersalah mendedahkan laporan itu semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada kira-kira pukul 3 petang 28 Mac tahun lalu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (c) (iv) OSA.

Di bawah OSA, seseorang boleh dijatuhi hukuman minimum 12 bulan atau sehingga tujuh tahun penjara.

Akibat keputusan mahkamah itu, Rafizi tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

[Baca berita penuh]

Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini memutuskan beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan rayuan Mohd Rafizi bagi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rafizi, 41, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 bagi kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan bagi dikenakan bon berkelakuan dikemukakan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili naib presiden PKR itu.

Pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan Mohd Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit tanpa kebenaran.

Berikutan penarikan balik itu, Hakim Ahmadi yang mempengerusikan panel itu, membatalkan rayuan itu.

Ahmad Nizam memaklumkan mahkamah anak guamnya menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hanya meneruskan rayuannya terhadap hukuman.

Mohd Rafizi didapati bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu mendedahkan isu kandungan laporan itu pada sidang media di lobi bangunan Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2016.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa memiliki muka surat 98 laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh kerajaan, pada 3 petang pada 24 Mac 2016.

Mohd Rafizi, yang berkemeja putih, seluar panjang hitam dan jaket hitam, berkata beliau datang ke mahkamah hari ini dengan bersedia bagi sebarang kemungkinan termasuk dihantar ke penjara.

Katanya beliau bersyukur kerana dikenakan bon berkelakuan baik dan berterima kasih kepada mahkamah, timbalan pendakwa raya dan peguam belanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS