Isu speaker DUN Kedah mesti diselesaikan sebelum 1 Julai - Mukhriz
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata isu lantikan speaker DUN Kedah mesti diselesaikan sebelum 1 Julai.
"Kita merancang untuk mengadakan persidangan pertama DUN pada 1 Julai.
"Jadi sebelum itu kita perlu menyelesaikan beberapa perkara dan saya rasa segala-galanya berjalan lancar.
"Saya tidak bimbang sangat tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau mengulas soalan wartawan berhubung speaker DUN Kedah, yang masih belum dilantik.
Walau bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedang berunding dengan pembangkang mengenai isu berkenaan.
“Sekarang kita dalam peringkat memujuk (pihak pembangkang) dan pujukan kami itu diterima baik oleh sesetengah pihak," katanya.
Mukhriz juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai jawatan speaker DUN kerana ia memerlukan konsensus semua pihak yang terbabit.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN Kedah manakala PAS (15) dan BN (3).
Ditanya kemungkinan diadakan pilihan raya semula di Kedah, Mukhriz berkata itu tidak perlu kerana akan memakan belanja yang besar.
“Saya difahankam oleh suruhanjaya pilihan raya, pilihan raya negeri akan memakan belanja RM18 juta.
"Ini sangat mahal, membuang masa..keletihan ketika pilihan raya lepas masih belum hilang dan tiada sesiapa yang mahu menghadapi pilihan raya sekali lagi sekarang.” katanya.

