Berita Malaysiakini

Bos Mydin mahu Tabung Harapan diletak di semua cawangan

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan Rabu lalu bagi meringankan beban kerajaan dalam menyelesaikan hutang negara terus mendapat sambutan baik daripada semua pihak.

Terbaru Pengarah Urusan perniagaan hypermarket Mydin, Datuk Ameer Ali meminta kebenaran agar tabung berkenaan diletakkan di semua pasaraya itu bagi memudahkan rakyat menghulurkan sumbangan.

"Saya dengar banyak syarikat nak menyumbang Tabung Harapan.

"Mydin sendiri sedang periksa dengan kerajaan sama ada kami boleh letak tabung HARAPAN di semua cawangan Mydin. Ada pelanggan kita nak beri RM10, RM20 tak tahu bagaimana kerana susah nak buat (derma melalui) perbankan atas talian.

"Di Mydin yang datang beribu orang. Kita harap dapat kebenaran untuk letak Tabung Harapan di semua cawangan supaya pelanggan kita boleh sumbang,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media di Ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam (PPIM), hari ini.

Ameer yang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata idea berkenaan dapat menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Katanya, berapa nilai sumbangan tidak penting asalkan rakyat bersatu hati menyelamatkan negara.

“Idea Tabung Harapan sangat bagus. Ada orang di luar sana yang berkemampuan yang nak menyumbang untuk negara dan kenapa tidak?

"Rakyat akan bersatu. Nilai berapa dikutip tidak penting tapi niat untuk bersama untuk menyumbang kepada negara. Ada beri seringgit, 10 ringgit,” katanya.

Ameer turut mengimbas kisah ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ingin keluar negara bagi menuntut kemerdekaan, ada di antara wanita pada masa itu menyerahkan gelang emas mereka.

“Saya rasa ia perasaan yang sama untuk negara orang akan serahkan segalanya, ia masih di ingatan saya,” katanya yang percaya masyarakat dunia sedang melihat rakyat Malaysia bersatu hati menyelamatkan negara.

Kurang 24 jam selepas pelancarannya, Rabu lalu Tabung Harapan Malaysia berjaya mencecah lebih RM7 juta.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata yang menyifatkan ia sebagai “prestasi luar biasa” berkata kerajaan komited untuk telus dengan setiap sen yang diterima daripada rakyat.

Menurut Lim, derma ikhlas itu membuktikan sejauh mana tahap patriotisme rakyat Malaysia apabila sanggup menyerahkan wang mereka bagi membantu usaha pembinaan semula negara ini