Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPIM minta pengguna catat harga barang lepas GST sifar

Persatuan Pengguna Islam (PPIM) meminta pengguna di negara ni memantau harga barangan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus berkuat kuasa hari ini.

Presidennya Datuk Nadzim Johan berkata langkah itu bagi memastikan tidak ada pengguna ditipu oleh peniaga yang mahu mengambil kesempatan terhadap mereka.

“PPIM kita nak fokus bila harga turun akan bagi kelebihan kepada pengguna. Kita tak mahu bila sifar peratus GST, akan beri kesan kepada pengguna yang suka kena tipu kerana kejahilan kita.

“Kita mahu langkah pro aktif pengguna buat sesuatu, kita mahu pengguna lindungi diri mereka bila tahu hak mereka.

“Kita juga nak mobilize pengguna catat apa barang yang tak turun harga, tolong laporkan kepada pihak berwajib,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PPIM di Kuala Lumpur, hari ini.

Pelaksanaan GST berkadar sifar berkuatkuasa hari ini dan ia akan digantikan dengan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mulai 1 September ini.

Sebelum ini, semua produk dan perkhidmatan perbankan tertakluk kepada GST berkadar enam peratus.

Nadzim turut mendesak supaya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan talian pantas (hotline) bagi kemudahan pengguna untuk membuat aduan segera berkaitan harga barangan.

“Kita nak talian hotline dari KPDNKK dan MOF untuk lapor berkaitan masalah pengguna supaya ada satu tempat yang boleh diadu dan pihak itu bertanggungjawab kumpul maklumat,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali, Persatuan peniaga dan pemilik Restoran Muslim Ayoob Khan Muhamad Yakub dan Pengerusi Biro Pertanian dan Industri Asas Tani Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Noor Al-Bakri.

Sementara itu Mohd Noor berkata, beliau percaya kadar sifar GST tidak akan menurunkan harga barangan sebaliknya akan menstabilkan kos sara hidup rakyat.

“Majoriti kata GST (sifar) akan turun harga barangan dan saya yakin ia tidak akan turunkan harga barang tapi stabilkan kos sara hidup. Tapi faktor GST (sifar) akan ringankan beban rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS