Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aidilfitri: Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 2:33 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Sempena perayaan Aidilfitri, Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) menawarkan pemeriksaan kenderaan persendirian sukarela secara percuma mulai hari ini hingga 11 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammed Shukor Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata pemeriksaan kenderaan boleh dibuat dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua cawangan Puspakom seluruh negara, kecuali di Shah Alam, Perai, Langkawi, Pasir Gudang dan Lahad Datu.

Menerusi kempen #drivesafenoregrets, beliau berkata pelanggan yang hadir menjalani pemeriksaan itu akan diberi keutamaan tanpa perlu menunggu dan membuat sebarang temu janji, serta tidak memerlukan sebarang dokumen.

“Pemeriksaan ini merangkumi 25 perkara termasuk ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek serta ketelusan cahaya cermin.

“Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan serta pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka,” katanya.

Mohammed Shukor berkata Puspakom turut menyediakan Unit Pemeriksaan Bergerak bagi pemeriksaan kenderaan percuma di parkir Tesco Shah Alam, Seksyen 13 dan di kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 3 dan 6 Jun ini bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata penganjuran kempen #drivesafenoregrets bertujuan mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan dalam memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap terbaik.

Beliau berkata kempen pemeriksaan percuma sempena musim perayaan pada 2017 mencatatkan hampir 3,000 kenderaan persendirian, iaitu peningkatan 240 peratus berbanding hanya 828 kenderaan pada 2012.

Katanya Puspakom akan melanjutkan waktu operasi pada 9 Jun (Sabtu) iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang di semua cawangan Puspakom di seluruh negara (termasuk Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) bagi memenuhi permintaan yang dijangka tinggi sempena Aidilfitri.

Dalam tempoh kempen itu, Puspakom juga menganjurkan pertandingan Instagram 'Snap & Win', iaitu pelanggan hanya perlu menjalani pemeriksaan percuma dan memuat naik gambar di Instagram rasmi Puspakom, “puspakom_ontheroad” dengan hashtag #drivesafenoregrets atau #puspakom_ontheroad.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen pemeriksaan percuma #drivesafenoregrets, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang www.puspakom.com.my atau Facebook rasmi Puspakom.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS