Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tony Pua persoal notis kehakiman bahawa Najib tidak bersalah dalam isu 1MDB
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 2:56 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Anggota Parlimen Damansara Tony Pua akan mempersoalkan mengenai notis kehakiman Mahkamah Rayuan yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Tan Ch'eng Leong yang mewakili Pua berkata notis kehakiman itu akan dibangkitkan melalui permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap injunksi sementara diperoleh Najib di dalam kes samannya terhadap Pua berhubung klip video membabitkan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

"Notis kehakiman itu dipersoalkan kerana ia membabitkan kepentingan awam dan boleh menjejaskan kes saman yang lain. Rayuan anak guam saya akan didengar pada 20 Jun di Mahkamah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes saman Najib terhadap Pua di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab hari ini.

Mohd Zaki juga menetapkan 28 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya saman itu di dalam prosiding yang turut dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili Najib.

Pada 14 Feb lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Najib yang melarangnya (Pua) daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video fitnah terhadap bekas perdana menteri itu, mengambil kira notis kehakiman berhubung kedudukan Najib dalam kes 1MDB.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu berkata mahkamah berpendapat dan mengambil kira notis kehakiman bahawa secara faktanya Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu membabitkan 1MDB dan mengambil maklum bahawa keseluruhan isu berkenaan telah diteliti dan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut panel itu, siasatan turut dilakukan oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang keputusannya diumumkan kepada orang ramai oleh AGC bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berkaitan 1MDB.

Pada 4 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang Pua daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnahnya (Najib).

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan Pua dalam “live video” berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Pua telah membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April 2017, yang telah dirakam dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya dalam Facebook rasminya ‘Tony Pua’ serta mendakwa klip video berdurasi dua minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di internet.

Dakwanya, kenyataan dalam ‘live video’ itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

- Bernama


NFM SSA AKT


Friday , 01 June 2018


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS