Kalau KJ presiden Umno, BN cadang MB Perlis baru
Kemelut Menteri Besar yang berlarutan hampir dua minggu pada tahun 2008 dilihat berulang kembali, apabila sehingga saat ini, Perlis masih belum memuktamadkan siapa bakal menduduki kerusi nombor satu negeri itu.
Sehingga hari ini iaitu sudah memasuki hari ke-22 selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU) pada 9 Mei lalu, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.
Namun begitu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ada satu cadangan bagi BN Perlis segera menyelesaikan kemelut yang berlaku.
Kata Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau, penyelesaian itu boleh dilakukan melalui pencalonan baru calon menteri besar Perlis.
Bagaimanapun Khairy berkata itu cadangan beliau sekiranya memegang mandat presiden Umno.
Formula baru
“Saya cadangkan satu formula baru dicari, mungkin tidak pada calon asal yang dicadangkan oleh BN Perlis dan mungkin Datuk Seri Azlan boleh mencari seorang calon lain yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.
“Itu kalau sayalah yang kendalikan (kemelut Perlis), itu yang saya akan usahakan. Tapi saya hanya calon naib presiden,” katanya dalam sidang media pada majlis berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda Umno seluruh negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut yang sedang berlaku di Perlis hari ini.
Perlis sehingga hari ini masih gagal membentuk kerajaan meskipun Barisan Nasional (BN) memperolehi majoriti mudah apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu.
Mengulas lanjut perkara itu, Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan berkata BN Perlis perlu segera menyelesaikan apa yang berlaku bagi mengelak gambaran yang tidak baik kepada pakatan pembangkang itu.
“Kita harap isu ini dapat diselesaikan dengan cepat sebab kemelut di Perlis tidak beri gambaran yang baik pada parti, sama ada dari segi keputusan kita mahu pun dari segi penerimaan kita terhadap keputusan yang dibuat oleh Raja Perlis.
"Satu cadangan yang boleh kita ketengahkan untuk mencari seorang calon bagi menteri besar yang dipersetujui antara BN Perlis dan juga yang boleh dapat perkenaan daripada Tuanku Raja Perlis.
Barulah keadaan yang ada pada hari ini dapat diatasi, kalau tidak Datuk Seri Azlan tidak tidak dapat lantik exconya dan ini akan menghalang pentadbiran BN Perlis,” katanya.

