Wawancara Malaysiakini

Umno kalah sebab pemimpin bisu dalam skandal 1MDB, kata Syed Ali

Kow Gah Chie & Jasmine Foong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Bagi Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, semua pihak dalam Umno perlu dipersalahkan atas kekalahan parti itu pada PRU ke-14.

Katanya, ini kerana semuanya secara membuta-tuli menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau berkata pemimpin dan akar umbi Umno sepatutnya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mereka bersuara tentang 1MDB, sehingga menyebabkan mereka dibuang atau terpaksa keluar parti.

"Semua bertanggungjawab. Kami wajar dipersalahkan kerana tiada yang bersuara seperti Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz.

"Kami tidak pernah bercakap tentang 1MDB dan tidak pernah beritahu bekas perdana menteri bahawa kami rasa ada yang tidak kena dengan 1MDB.

"Kami terlalu takut untuk bersuara, (jadi) kami mendakwa Najib betul dan tiga pemimpin itu mahu sabotajnya. Kami hanya ikut arus," katanya lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan berkata, salah satu sebabnya adalah ketakutan pemimpin Umno yang mereka mungkin kehilangan jawatan dalam kerajaan, seperti apa yang berlaku terhadap Muhyiddin.

Beliau berkata masih ingat dengan jelas bagaimana presiden BERSATU itu disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas secara terbuka mengkritik 1MDB dalam perhimpunan agung Umno Cheras pada 26 Julai 2015.

Katanya, beliau sudah "separuh percaya" tentang apa yang dikatakan Muhyiddin pada ketika itu tetapi memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa kerana mahu kekal dalam kerajaan.

Syed Ali mengimbas kembali tindakannya melawat Muhyiddin sehari selepas pemecatannya yang mengundang kritikan daripada pemimpin parti yang lain.

"Selepas itu saya menutup mulut. Saya juga bertanggungjawab (atas kekalahan Umno dan BN)," katanya lagi.

Najib yang meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN tiga hari selepas PRU ke-14 kini disiasat polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ekoran skandal 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dua kali mengambil keterangannya untuk siasatan mereka terhadap skandal sama.

Bulan lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyuarakan kekesalannya kerana tidak memberitahu Najib tentang betapa akar umbi telah menolak parti itu susulan penyingkiran Muhyiddin dan bekas naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata kegagalan Najib menangani persepsi selepas beliau dan keluarganya terkait dalam isu 1MDB adalah punca kekalahan Umno dan BN pada PRU lalu.

Turut serta adalah bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyifatkan Umno bersikap angkuh apabila merasakan pengundi merasa terhutang dengan BN.

'Tiada lagi dana'

Syed Ali mengakui faktor Najib telah memberikan kemenangan kepada HARAPAN tetapi berkata sudah terlewat untuk meletakkan kesalahan.

"Sudah terlambat. Malah ini bukan masanya untuk menyalahkan (mana-mana pihak). Kita sendiri salah kerana tidak bercakap tetapi hanya mengikut...kita perlu hentikan amalan ini.

"Kita perlu sama-sama bekerja untuk mendapat semula sokongan rakyat dan tunjukkan yang kita boleh berubah," katanya lagi.

Beliau juga membangkitkan sejumlah anggota Umno yang telah menyertai BERSATU dan menganggapnya ia mempunyai hikmah tersendiri.

Katanya, beliau sentiasa memberitahu anggota parti yang menyokong HARAPAN pada PRU lalu dan yang tertarik dengan BERSATU untuk meninggalkan Umno.

"Mereka yang kekal adalah anggota Umno tulen yang komited dengan perjuangan."

Ketika wawancara, Syed Ali juga mengesahkan Umno sudah menghentikan peruntukan terhadap bahagian parti di seluruh negara.

Beliau berkata telah menghubungi Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengesahkan surat bertarikh 22 Mei berkaitan perkara itu.

"Saya tiada masalah kerana sudah biasa bebas (secara kewangan). Jika saya ingin buat program parti, saya akan cari (penaja) sendiri.

"Sebelum ini ibu pejabat parti dapat salurkan sejumlah peruntukan untuk menyokong anda, tetapi sekarang tidak lagi," katanya.

Bagi Umno Cheras, beliau berkata keadaan kewangan masih stabil dan mereka hanya memerlukan beberapa ringgit bagi membayar sewa bangunan dan gaji pekerja.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata beliau mungkin akan mengecilkan skala acara Umno bahagian itu di masa akan datang untuk menjimatkan kos.