Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

"Ramai peniaga tapi jual barang yang sama,' itu komen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah menghabiskan hampir sejam setengah mengunjungi Kompleks Pekan Rabu yang baru dirasmikan bulan lepas.

"Saya nampak makin ramai peniaga tapi masalahnya ialah jual barang yang sama...kita masuk satu kedai, boleh beli semua, lain kedai tak payah pi (pergi) dah," katanya ringkas kepada pemberita selepas melakukan lawatan tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya cadangan bagi menambah baik perkara itu, beliau hanya menjawab: "tak ada cadangan, saya nak fikir, kalau ada idea baharu," katanya.

Kunjungan mengejut beliau ke Pekan Rabu, ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz serta isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakria.

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa melawat beberapa lot gerai dan membeli beberapa kelengkapan seperti songkok, kopiah, sejadah dan kuih raya.

Menjadi tumpuan beliau pastinya gerai yang menjual 'Songkok Style Tun’ yang menjadi kegemarannya dan dipakai sejak sekian lama.

Kehadiran beliau yang diketahui umum suka mengunjungi Pekan Rabu setiap kali bulan Ramadan itu mencuri tumpuan ramai pengunjung yang teruja melihat kehadiran beliau dengan tidak melepaskan peluang mengambil swafoto bersama.

Kompleks Pekan Rabu baharu dengan 355 ruang niaga bernilai RM55.57 juta yang dibina di atas tapak seluas 5,062 meter persegi siap pada 15 Jan lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS