Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Pemilihan sayap Pemuda Umno akan datang akan ditandingi oleh dua pemimpin berumur 40an.

Pesaing utama adalah Timbalan Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang menjangkau umur 42 tahun ini.

Pencabarnya merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang juga berumur 42 tahun.

Ketika ini, tiada had umur bagi jawatan ketua pemuda Umno meskipun keanggotaan dalam sayap pemuda itu berakhir pada umur 40.

Penganalisis politik Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia menggambarkan bahawa keadaan ini tidak begitu tepat bagi Umno jika ingin melakukan pembaharuan dalam parti mereka.

"Pemimpin berumur 40an dan 50an boleh menerajui parti, tapi ketua pemuda perlulah daripada golongan yang lebih muda.

"Ini sebahagian daripada proses meremajakan parti dan membuatnya lebih senang diterima orang muda," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi penganalisis politik Awang Azman Pawi turut menyatakan hal yang sama.

"Jika Pemuda Umno mahukan pemimpin muda yang efektif maka calon mereka perlulah daripada golongan di bawah 35 tahun bagi memberi inspirasi dan menjadi suara golongan muda Malaysia," kata Awang Azman.

Awang Azman merujuk pemimpin muda Pakatan Harapan daripada DAP, PKR dan BERSATU yang berumur di bawah 40 tahun.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berumur 36; Ketua Pemuda DAPSY Wong Kah Woh, 38; dan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berumur 25. Sementara Ketua pemuda AMANAH Sany Hamzan menjangkau umur 40 tahun ini.

Awang Azman berkata ketua Pemuda Umno perlulah merupakan seorang yang berani menyuarakan pendapat meskipun ia bertentangan dengan pemimpin tertinggi dan bukan hanya bersuara setelah pemimpin itu kalah.

Faisal pula berkata, hanya dengan memiliki pemimpin sayap pemuda daripada golongan muda tidak cukup kerana Umno memerlukan perubahan budaya politik.

"Politik wang perlu dihapuskan, imej elit parti itu juga perlu ditukar, serta budaya memegang jawatan parti sebagai jalan pintas untuk cepat kaya perlu dihentikan," katanya.

Penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang akan bertanding jawatan naib presiden sebelum ini menolak cadangan mengehadkan umur 30 untuk keanggotaan.

Khairy ketika menjadi menteri belia dan sukan sebelum ini pernah mencadangkan agar had bagi golongan muda adalah 30 tahun.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS