Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tajuddin tanding naib presiden Umno, tak mahu lagi jadi 'yes man'

Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan beliau akan bertanding naib presiden Umno pada pemilihan kali ini.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan Umno selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tajuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mendakwa pernah menegur Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno berkaitan isu derma dan 1MDB namun tidak didengari kerana menganggap beliau hanyalah seorang pemimpin kecil.

“Saya janji depan semua saya akan bekerja habis-habisan. Saya akan turun padang dan bangkitkan semula obor perjuangan Umno.

“Saya tak akan jadi yes man dan pengampu kerana mempunyai prinsip. Saya sekadar boleh melupakan tapi tak boleh buat keputusan berkaitan isu 1MDB, derma untuk politik, soal sumber kewangan untuk diberi di peringkat akar umbi, saya bangkitkan dan perjuangankan.

“(Tapi ketika itu) saya pemimpin kecil tak ada kuasa, saya telah bercakap dan ingatkan (Najib) tapi sudahlah jadi iktibar.

“Saya percaya jika saya duduk sebagai naib presiden dan siapa presiden dia akan dengar cakap naib presiden, tak boleh buat keputusan sendiri-sendiri lagi. Tak nak jadi macam yang sudah-sudah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ditanya alasan bertanding jawatan naib presiden dan bukannya presiden, Tajuddin berkata beliau mengukur baju di badan sendiri.

Tajuddin berkata berdasarkan analisis yang dibuatnya, sebanyak 46 peratus orang Melayu masih memberi sokongan kepada Umno justeru katanya pemimpin parti itu perlu bangkit memperjuangkan orang Melayu.

Sementara itu, berkaitan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara, Tajuddin berkata kerajaan perlu memberikan nama lain memandangkan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Bagilah sahaja beberapa nama yang Yang di-Pertuan Agong boleh setuju. Umno tak ada masalah jika peguam yang dilantik itu seorang yang boleh jalankan tugas dengan baik. Jangan peguam negara jadi orang suruhan perdana menteri," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menyatakan keraguan terhadap latar belakang Tommy.

“Banyak pihak pertikai kerana dia latar belakang ada kes yang dia tak telus, profesional bagaimana rakyat Agong boleh terima,” katanya.

Lihat Komen
ADS