Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johari sah bertanding naib presiden Umno
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 9:11 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Menegaskan bahawa Umno perllu menjadi parti yang menarik buat golongan muda dan bersedia menjadi suara mereka, bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini secara rasmi mengumumkan bertanding bagi jawatan naib presiden parti berkenaan.

Menurut Johari menjadikan Umno digemari oleh generasi muda adalah antara cabaran parti pada masa depan.

Katanya beliau menganggotai Umno sejak 1988 dan sudah mengetuai bahagian Titiwangsa selama lapan tahun.

Selain itu kata Johari beliau juga sudah menjadi anggota parlimen selama lima tahun dan daripada tempoh itu, 21 bulan berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua.

Sebelumnya menurut Johari beliau terlibat dalam dunia korporat selama 25 tahun.

"Saya mempunyai pengalaman berurusan dan berdampingan dengan rakyat dari berbilang latar belakang, pemikiran dan pandangan politik yang berbeza-beza.

"Sehubungan dengan ini, saya bersedia untuk terus menyumbangkan masa, tenaga, buah fikiran dan pengalaman saya untuk sama-sama membantu memperkasakan Umno semula, Insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belum ada tanda untuk presiden

Umno mengalami kejutan besar selepas tercicir dari tampuk kuasa buat kali pertama pada 9 Mei lalu. Parti itu yang menjadi tulang belakang kepada BN tumbang kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ekoran kekalahan itu wujud desakan supaya Umno mempertandingkan semua jawatan dalam parti terbabit, dari peringkat presiden hingga ke bawah.

Jawatan presiden kini kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak tiga hari selepas PRU ke-14.

Bagaimanapun setakat ini bagi jawatan presiden hanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan untuk bertanding. Jumlah yang lebih ramai adalah untuk jawatan naib presiden.

Selain Johari tokoh lain yang berminat menawarkan diri ialah bekas timbalan menteri pertanian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Umno mempunyai tiga tempat untuk jawatan naib presiden.

Pemilihan akan berlangsung pada 30 Jun ini.

Kata Johari beliau percaya Umno mempunyai asas yang kukuh serta daya tahan bagi menghadapi apa juga cabaran dan krisis sehingga menjadikannya parti yang masih lagi dihormati lawan.

"Sebagai sebuah parti pembangkang yang baru, Umno harus terus menjadi saluran bagi suara rakyat untuk memperjuangkan hak-hak mereka di dalam menghadapi arus pembangunan ekonomi dan negar," katanya.

Bekas anggota parlimen Titiwangsa itu juga berkata anggota Umno perlu memperbaiki kekurangan dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memperbetulkan apa jua kelemahan lalu.

"Umno perlu mendengar suara rintihan rakyat dan tidak lagi berterusan hidup di dalam kegemilangan masa lalu.

"Inilah masanya bagi kita mengubah cara pendekatan kita kepada rakyat dan tidak lagi berfikir bahawa rakyat harus perlu sentiasa berasa terhutang budi kepada Umno dan BN," katanya.

Lihat Komen
ADS