Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam: Pelantikan AG tak wajar ditangguh
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 10:15 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Badan Peguam berharap Yang di-Pertuan Agong dapat memberi penyelesaian segera terhadap kebuntuan dalam isu pelantikan peguam negara (AG) pilihan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presidennya George Varughese berkata seorang AG mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, serta menjadi pendakwa raya.

Justeru katanya tidak wajar pelantikan itu ditangguhkan lebih lama kerana penyandang sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, sedang bercuti selama tiga minggu.

Tambah Varughese Fasal 145(1) Perlembagaan Persekutuan sudah menyatakan bahawa Agong perlu melantik seorang yang dianggap layak menjadi AG berdasarkan nasihat perdana menteri.

"Sebagai raja berpelembagaan Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyebut baginda mesti bertindak mengikut nasihat perdana menteri.

"Justeru Agong perlu melantik seseorang - seperti dinasihatkan perdana menteri - sebagai peguam negara baru dan menamatkan kebuntuan tanpa sebarang penangguhan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menamakan peguam kanan, Tommy Thomas bagi menjalankan tugas sebagai AG menggantikan Apandi.

Bagaimanapun proses itu dilaporkan mencapai kebuntuan ekoran kehendak Majlis Raja-raja yang mahukan jawatan AG diberikan kepada peguam beragama Islam.

Semalam Dr Mahathir berkata usaha sedang dijalankan kerajaan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menurut Varughese pelantikan seseorang AG tidak sepatutnya dihalang oleh "pandangan luar".

"Pelaksanaan tugas perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik peguam negara baru tidak wajar dihalang oleh pandangan luar yang membuat pertimbangan sesuatu kriteria tanpa asas perlembagaan, berdasarkan pertimbangan yang tidak relevan, atau boleh dianggap rambang atau bersifat diskriminasi.

“Yang di-Pertuan Agong mesti melaksanakan tugasnya sebagai raja berpelembagaan sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Varughese tokoh yang dilantik perlulan seorang peguam berpengalaman dengan kemahiran perundangan yang serba boleh dalam undang-undang awam, serta dianggap ramai bersifat bebas.

Katanya tokoh itu juga mesti dillihat mampu melaksanakan proses reformasi kerajaan secara adil dan saksama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS