Bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan akan turut bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Menjelaskan tujuannya bertanding jawatan itu, Khaled yang juga merupakan pengerusi Umno Johor berkata, ia bagi memastikan Umno kembali mendapat sokongan.

"Ini pegangan perjuangan saya dan perjuangan ini saya tak akan pinggirkan semata-mata Umno parti yang kalah.

"Kita mahu banyak orang tampil ke depan bantu memulihkan Umno," katanya pada sidang media di Pasir Gudang hari ini.

Selain Khaled, bekas menteri Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini turut mengumumkan bertanding bagi jawatan naib presiden Umno.

Setakat ini, lima pemimpin Umno sudah mengumumkan akan bertanding jawatan itu.

Tiga yang lain adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Khaled berkata beliau akan memberi mengemukakan cadangan lebih terperinci tentang langkah yang menurutnya perlu diambil untuk memulihkan Umno dalam masa terdekat.

"Semua orang kata Umno perlu berubah, tapi tak ada sesiapa menjelaskan bagaimana perubahan nak dibuat.

"Sebelum pertandingan (pemilihan Umno) saya akan kemukakan butiran-butiran dan pandangan-pandangan saya agar perubahan sama-sama (boleh) dibuat," katanya.

Umno mempunyai tiga tempat untuk jawatan naib presiden. Pemilihan akan berlangsung pada 30 Jun ini.