Daim sindir Pemuda Umno tak mampu bantu pulihkan parti
Tun Daim Zainuddin mengkritik sayap Pemuda Umno dan ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung skandal 1MDB.
Bekas menteri kewangan itu berkongsi pendapatnya sama ada Pemuda Umno mampu mempercepatkan pemulihan Umno selepas kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.
"Ia akan sukar kerana Pemuda Umno, termasuk ketuanya, sebelum ini mempertahankan 1MDB.
"Jika mereka pernah baca laporan Jabatan Kehakiman AS (DOJ), laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) tapi masih lagi mempertahankan jenayah yang terjadi, maka mereka tidak seharusnya menjadi teladan kepada anak muda di Malaysia.
"Mereka tida menunjukkan rasa bersalah. Saya ragu mereka boleh mengambil alih semula kerajaan dengan pemimpin tertinggi ketika ini," katanya sepeti dipetik dalam wawancara bersama The Star.
Wawancara itu disiarkan sehari selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Khairy sebagai calon terbaik menerajui Umno.
Khairy yang merupakan bekas menteri belia dan sukan akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno akan datang.
Sementara itu, Daim, yang merupakan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata BN berdepan dengan masalah tiada kredibiliti yang merupakan halangan kepada gabungan parti itu untuk menjadi pembangkang berkesan.
"Untuk menjadi pembangkang yang berkesan, mereka perlu mempunyai kredibiliti. Ketika ini, kredibiliti apa yang ada pada BN? Jika tak ada kredibiliti, orang akan susah untuk percaya," katanya.
Jelas Daim lagi, pemimpin Umno masih belum menyedari dan insaf dengan isu berhubung skandal 1MDB.
"Sehingga hari ini, tak ada permohonan maaf daripada mana-mana pemimpin Umno. Pencuri wang 1MDB masih lagi dalam penafian, dakwa mereka tak buat apa-apa kesalahan," katanya.

