Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Amalan beri pangkat tentera pada ahli politik, selebriti dikaji semula

Kementerian Pertahanan akan mengkaji semula amalan pengurniaan pangkat dan pemakaian tentera oleh ahli politik dan selebriti.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata arahan itu sebagai menghormati kedudukan tentera dan mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan.

“Saya telah arahkan agar pakaian tentera atau anugerah pangkat kepada orang awam ini dikaji semula sebab kita mahu imej tentera dipertingkatkan...mereka perlu dihormati.

"Kita tidak mahu uniform tentera disalah gunakan, pangkat sewenang-wenangnya diberi kepada orang politik. Kita akan kaji dan kurangkan seminimum mungkin," katanya dalam wawancara bersama beberapa media di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apakah gelaran tentera yang sudah diberikan kepada golongan itu sebelum ini akan ditarik balik atau tidak.

sebelum ini, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) Beg Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji menggesa Mohamad Sabu menghentikan amalan kerajaan BN itu kerana ia didakwa merendahkan penghormatan terhadap tentera dan pangkat mereka.

Memetik laman Free Malaysia Today, Mohamed Arshad berkata pangkat yang diberikan kepada tentera wataniah - yang dianggotai orang awam - biasanya sekadar kolonel dan bukannya brigadier jeneral seperti yang pernah diberikan kepada ahli politik dan selebriti.

“Kami perlu bersusah payah untuk mendapat pangkat itu pada seragam kami. Saya rasa sangat tidak masuk akal tentera memberikan pangkat kehormat kepada menteri besar, ahli politik dan selebriti," katanya seperti dipetik.

'Tubuh jawatankuasa'

Sementara itu Mohamad mengulang komitmen untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat skandal rasuah melibatkan kementeriannya ketika pentadbiran lalu, termasuk skandal pembelian kapal selam Scorpene.

"Perkara ini ditimbulkan orang ramai dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyiasat, ia tidak tertumpu kepada satu isu sahaja.

"Kita akan siasat semua khususnya skandal besar, termasuk (skandal) Scorpene yang sudah pun dibincang di Kabinet, tetapi pada masa ini terlalu awal untuk mengulasnya," katanya yang juga presiden AMANAH.

Berhubung isu Scorpene yang pernah hangat diperkatakan beberapa tahun lalu, Mohamad pada 28 Mei lalu berkata bersedia untuk bertemu William Bourdon dan Apoline Cagnat - peguam Perancis yang mewakili NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk mefailkan saman di mahkamah Perancis berhubung urus niaga itu pada 2001.
 

Lihat Komen
ADS