Operator telefon didenda RM3,000 kerana hina polis
Seorang operator telefon sebuah kilang didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik komen menghina anggota polis di laman Facebook yang sebelum ini menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menaiki motosikal.
Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Amaluddin Adnan, 21, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Jalan Jinjang Utara di Kuala Lumpur pada 10.45 malam, 16 Februari lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda.
Mohamad Amaluddin didakwa dengan sengaja memulakan penghantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati kepada Muhammad Nurhadi Sazali dengan memuat naik gambar dan perkataan kesat di laman Facebook.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, OKS yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon OKS dikenakan hukuman berbentuk pengajaran supaya lebih berhati-hati di masa hadapan dengan alasan tindakannya bukan saja tidak menghormati pihak berkuasa tetapi menjatuhkan maruah anggota polis.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika pengadu yang juga anggota polis membuat rondaan di sekitar jalan 3A/2B Taman Desa Bakti ternampak OKS dan adiknya yang tidak memakai topi keledar ketika menaiki motorsikal.
Pengadu kemudian mengeluarkan saman atas kesalahan tidak memakai topi keledar terhadap adik tertuduh.
Bagaimanapun, pada jam 10.45 malam, pengadu dimaklumkan oleh rakannya melalui aplikasi WhatsApp bahawa satu akaun Facebook milik Amaru Din memuat naik dan menularkan gambarnya ketika bertugas di dalam kumpulan komuniti penduduk Batu Caves/Selayang/Gombak di Facebook.
Di dalam kenyataan itu, OKS menulis perkataan kesat dan menghina anggota polis sekali gus menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
-Bernama

