Berita Malaysiakini

PM jamin pertahan agama Islam

Shakira Buang  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan mengabaikan agama Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan selain memelihara kebebasan beragama penganut agama lain.

Dr Mahathir berkata, tuduhan sesetengah pihak bahawa pentadbiran HARAPAN tidak membela dan mempertahankan agama Islam adalah tidak tepat.

“Kita akan dirikan kerajaan yang berpegang kepada undang-undang dan tidak akan lakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam.

“Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan negara kita ditadbir mengikut landasan undang-undang dan prihatin serta peduli kepada rakyat,” katanya di Majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini.

HARAPAN sebelum ini berdepan pelbagai tuduhan seperti bersikap anti-Islam termasuk kontroversi terbaru melibatkan pelantikan peguam negara dari kalangan bukan Islam.


Baca: Calon AG mesti 'peduli raja, peduli Islam'


Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Islam menuntut penganutnya tidak mendiskriminasikan agama lain, sebaliknya menyuruh berlaku adil dalam setiap perkara.

“Kita tidak akan diskriminasikan agama lain, kerana Islam suruh kita mentadbir dengan keadilan dan ini disebut berkali-kali dalam al-Quran.

“Al-Quran menyatakan apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil, bukan semata-mata orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam,” katanya.

Dr Mahathir juga mendakwa sejak mengambil alih kerajaan, beliau mendapati ramai anggota kakitangan awam 'terpedaya dengan dakyah jahat' sehingga gagal memberikan khidmat kepada negara, sebaliknya berkhidmat untuk parti tertentu.

“Kita tidak suka ambil tindakan, tetapi tidak dapat tidak, kita tidak boleh benarkan mereka (yang enggan bekerjasama) jalankan tugas.

"Kita perlu cari pengganti kepada mereka. Mungkin pada mereka, mereka dianiaya tetapi ini dilakukan dengan dasar dan undang-undang dalam negara,” katanya.

Katanya, ramai penjawat awam kerajaan yang enggan bekerjasama sanggup melakukan sesuatu perkara walaupun bertentangan dengan undang-undang.

“Kita tidak boleh beri harapan sepenuhnya kepada orang yang menyeleweng, iaitu anggota pentadbir awam haruslah patuh kepada kerajaan yang mendapat pilihan rakyat,” katanya.