Air: NS mahu hak kerajaan negeri tidak terjejas
Negeri Sembilan mahu memastikan hak kerajaan negeri tidak terjejas selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ditubuhkan dan mengambilalih pentadbiran bekalan sumber air.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata secara dasarnya kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan untuk menyelaraskan pentadbiran berkenaan tetapi pada masa sama mahu beberapa perkara yang menyentuh hak dan kepentingan kerajaan negeri diambilkira.
Negeri Sembilan mahu memastikan hak kerajaan negeri tidak terjejas selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ditubuhkan dan mengambilalih pentadbiran bekalan sumber air.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata secara dasarnya kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan untuk menyelaraskan pentadbiran berkenaan tetapi pada masa sama mahu beberapa perkara yang menyentuh hak dan kepentingan kerajaan negeri diambilkira.
"Terutama sekali tentang hak mutlak sumber air, kita mahu tahu cara suruhanjaya ini beroperasi dan atas dasar apa. Perkara ini kita sudah kemukakan kepada pegawai Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi yang bertemu kita.
"Saya rasa bukan soal penyelarasan tarif air tetapi lebih kepada pengurusan. Kalau nak selaras, Negeri Sembilan adalah antara negeri yang mengenakan tarif terendah di negara ini,"ujarnya.
Negeri Sembilan mengenakan bayaran 55sen bagi 20 unit pertama penggunaan air, 85 sen sehingga 35 unit dan RM1.40 bagi unit ke-35 dan seterusnya bagi kediaman.
Bagi industri dan pertanian, caj yang dikenakan ialah sebanyak RM1.50 bagi 35 unit pertama dan RM1.60 bagi unit seterusnya.
Menurut beliau, apabila ditubuhkan suruhanjaya itu kelak negeri-negeri akan kehilangan hak untuk menaikkan tarif air kerana tindakan itu perlu dirujuk kepada SPAN. Ia hanya boleh dibuat setelah mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban.
Menurut laporan Bernama, Mohammad berkata persetujuan kerajaan negeri itu bukan membabitkan soal untung rugi tetapi lebih kepada isu keselamatan kerana ia akan menjejaskan bekalan air jika tidak ditangani bersama oleh kerajaan pusat.
Ditanya mengenai cadangan kerajaan negeri yang mahu memperbadankan Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) tahun depan bagi membolehkannya diuruskan dengan lebih baik berbanding sekarang, beliau berkata ia akan diteruskan.
Mohamad berkata pengkoporatan itu tidak terjejas dan urusan mengurus itu tetap bersama-sama kerajaan pusat tetapi beberapa keputusan penting seperti menaikkan tarif, pengswastaan perlu dirujuk kepada SPAN.
Selasa lepas, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata pembentangan Rang Undang-undang Industri Perkhidmatan Air dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional ditangguhkan kepada Mac bagi memberi lebih banyak masa kepada orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji kandungan kedua-dua rang undang-undang itu.
Rang undang-undang itu bertujuan mewujudkan satu dasar asas dan rangka kerja perundangan bagi menyokong pembangunan industri perkhidmatan air.

