Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis MB Perlis dianggap selesai
Diterbitkan:  Jun 5, 2018 1:30 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Kemelut MB Perlis dianggap telah selesai dan sembilan ADUN yang pada mulanya memulaukan istiadat pelantikan Azlan sebagai menteri besar kini menyatakan sokongan, lapor media tempatan.

"Sehubungan itu, kemelut pelantikan jawatan nombor satu negeri tersebut yang berlarutan sejak hampir sebulan lamanya, kini berakhir," tulis laporan Utusan Online.

"Katanya, keputusan itu yang sudah pun dibuat sebelum mereka diterima menghadap baginda di Istana Arau...kelmarin, adalah bagi menyelesaikan segera isu berkenaan demi kebaikan rakyat," kata laporan itu.

Laporan itu memetik ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata beliau berharap pelantikan exco kerajaan negeri dapat dibuat segera.

“Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan dan supaya sebuah kerajaan negeri yang sempurna (pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dapat dibentuk segera. Kita jangka (pelantikan) boleh dilakukan pada minggu depan,” katanya.

Junjung titah, akur dan taat

Manakala itu, laporan Utusan Online juga memetik Azlan yang diminta mengulas isu tersebut hanya tersenyum sambil menjawab ringkas: “Semuanya positif”.

Asmaiza turut dipetik berkata majlis sembah menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin oleh kesemua ADUN BN berkenaan berlangsung dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah tuanku (Syed Sirajuddin) perkenan untuk berjumpa dan pada masa itu, kami (ADUN-ADUN) telah menyatakan menjunjung titah tuanku, akur dan taat dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Sembah menghadap itu tanpa kehadiran ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dan abangnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetahui keputusan sembilan ADUN terbabit, jelas Asmaiza.

Pada 1 Jun lalu, semua sembilan ADUN BN Perlis yang memulaukan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menerusi satu sidang media.

Permohonan ampun itu diketuai oleh Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh wakil rakyat Umno pada satu sidang media di sebuah hotel di Perlis.

Mereka bagaimanapun pada ketika itu 9 ADUN berkenaan tetap menolak Azlan sebagai menteri besar negeri itu.

Lihat Komen
ADS