Umno Gua Musang sokong Ku Li bertanding presiden
Tengku Razaleigh Hamzah dilihat tokoh paling sesuai mengetuai Umno selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Anggota Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Gua Musang sebulat suara menyokong sekiranya Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan akan datang.
Wakilnya, Mahamad Napi Nasir berkata, Tengku Razaleigh dilihat sebagai pemimpin yang bersih dan mampu menaikkan semangat anggota Umno untuk meneruskan perjuangan.
“Selain mampu menyatukan orang Melayu, beliau (Tengku Razaleigh) juga mampu menangkis dakyah mengenai isu 1MDB kerana kepimpinan beliau tidak terlibat dalam kemelut berkenaan,” katanya.
Bagi AJK Bahagian, Wan Zawawi Wan Zain, tiada pemimpin lain yang lebih layak mengisi kekosongan tersebut selain Tengku Razaleigh.
“Seluruh kepimpinan Umno sedang mencari dan mengintai siapa yang akan jadi presiden. Dalam pada itu, ramai yang mahukan Tengku (Razaleigh) mengisi kekosongan tersebut.
“Saya dan seluruh kepimpinan AJK bahagian terutamanya kepimpinan muda menyokong penuh Tengku untuk menjadi calon jawatan itu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Terdahulu Ku Li menegaskan masih mempertimbangkan cadangan itu kerana menganggap ia bukan satu keputusan yang mudah dan merupakan satu tanggungjawab yang besar dalam keadaan baru yang tidak pernah dilalui Umno sebelum ini.
Sementara itu, Adun Paloh, Amran Ariffin yakin Tengku Razaleigh adalah tokoh paling layak dan perlu diberi kepercayaan serta peluang untuk menerajui parti.
“Di bawah kepimpinan Tengku, Umno akan pulih dengan cepat selepas mengalami sedikit ujian dalam kekalahan baru-baru ini.
“Ini kerana, Tengku tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah sepanjang kepimpinannya. Keputusan ini juga mampu meraih sokongan padu orang Melayu terhadap Umno,” katanya.
Bagi Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, Umno perlu mendengar suara rakyat iaitu akar umbi agar kesilapan yang sama tidak berulang.
“Tengku tidak mempunyai sebarang rekod yang tidak baik dan tidak pernah terpalit dalam isu yang kontroversi. Pemimpin sebeginilah yang kita perlukan.
“Malah, dengan kredibiliti yang ada pada beliau, kita akan mendapat sokongan dan tarikan ahli untuk kembali mempercayai Umno. Beliau juga merupakan tokoh yang paling lama dan pengalaman serta pemikirannya juga tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya.

