Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrizat tak pertahan jawatan ketua wanita

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baru mengetuai sayap itu.

“Wanita Umno mempunyai ramai pemimpin berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.

"Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita Umno, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keputusannya itu telah dimaklumkan pada Mesyuarat Exco sayap itu yang diadakan hari ini.

Shahrizat turut menyeru semua anggota Wanita Umno terutama di peringkat akar umbi supaya mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 1.3 juta anggota Wanita Umno kerana memberinya peluang, kepercayaan dan kesetiaan untuk memimpin pergerakan itu.

”Sokongan dan perpaduan ahli Wanita Umno yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diamanahkan.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku Ketua Wanita Umno Malaysia, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS