Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua ADUN BN Perlis akur Azlan Man sebagai MB

Kesemua sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akur dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar manakala pelantikan dan istiadat angkat sumpah anggota Exco dijangka selesai sebelum Aidilfitri ini.

ADUN Chuping Asmaiza Ahmad berkata pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang dimaklumkan mengenai keputusan itu juga tidak membantah.

”Keputusan ini dicapai sebulat suara atas nama rakyat oleh semua sembilan ADUN tersebut sebelum kami menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Ahad lepas.

“Kami akur dengan titah Tuanku tidak akan toleh belakang lagi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas penyampaian sumbangan Ramadan oleh Azlan kepada 1,531 penerima dalam DUN Mata Ayer di Dewan 2020 di Kangar, hari ini.

Asmaiza berkata semua ADUN terbabit membuat keputusan itu supaya mereka yang dipilih dapat memberi khidmat kepada rakyat tanpa gangguan selain agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lancar.

Katanya Azlan dijangka menghadap Tuanku Syed Sirajuddin minggu depan bagi memohon perkenan untuk melantik anggota Exco dan diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan sebelum Aidilfitri ini.

“Kita menang dengan keputusan majoriti dan tidak pernah terlintas dalam hati kami untuk lompat parti. Isu ini termasuk menubuhkan kerajaan perpaduan, tidak berbangkit,” tambahnya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar bermula apabila sembilan ADUN BN tidak menghadiri istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu di Istana Arau pada 24 Mei lepas.

Setiausaha Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi alasan mereka menolak Azlan atas beberapa sebab antaranya kegagalan Azlan menghadiri mesyuarat Perhubungan Negeri selama empat tahun, tidak membincangkan isu polisi tanah dengan Umno dan beliau didakwa gagal di bahagian Kangar.

Sebelum itu, Shahidan mencadangkan Azlan dipecat daripada Umno selepas menerima jawatan tersebut walaupun majoriti ADUN BN tidak menyokong beliau.

Shahidan kemudian mengemukakan 11 nama selepas tiga nama yang dicadangkannya tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin.

Dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas, BN Perlis memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan termasuk Azlan yang menang di DUN Bintong.

Dalam perkembangan lain, Azlan yang ditemui kemudian berkata 1,203 penjawat awam termasuk berstatus kontrak di Perlis bergred 41 ke bawah akan diberi bonus sempena Aidilfitri sebanyak RM400 seorang manakala 20 orang pesara diberi RM200 seorang.

Katanya pemberian itu melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM485,200 manakala tarikh pembayaran akan diumumkan dalam masa terdekat. -Bernama

Lihat Komen
ADS