Loke temui waris mangsa MH370
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengadakan pertemuan dengan waris-waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014, semalam.
Tanpa mendedahkan butiran pertemuan secara tertutup itu, beliau berkata ia berlangsung dalam suasana harmoni.
"Mereka datang dan mendengar penerangan kita...ia berlangsung dalam suasana harmoni," katanya pada sidang media di kementerian itu di Putrajaya, hari ini.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Rabu lepas (30 Mei), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha mencari pesawat itu terpaksa dihentikan kerana tiada sebarang bukti ditemukan walaupun pencariannya dilaksanakan secara besar-besaran.
Pada hari sama, Loke berkata bahawa laporan akhir berhubung operasi pencarian pesawat MH370 dijangka dikeluarkan pada Julai ini dan akan ditunjukkan kepada keluarga mangsa sebelum diterbitkan untuk tatapan umum.
Ditanya sama ada pihak keluarga mangsa berpuas hati dengan penerangan Kementerian Pengangkutan semalam, Loke berkata ia terpulanglah kepada mereka. -Bernama

