Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lantikan AG: Ini satu tanggungjawab berat, kata Thomas

Peguam kanan Tommy Thomas berkata beliau merasa terharu terhadap pelantikannya sebagai peguam negara yang baru dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu “tanggungjawab yang hebat”.

Bercakap kepada pemberita di luar pejabat firma undang-undangnya di Jalan Ara, Bangsar hari ini, Thomas mengesahkan bahawa beliau telah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama beberapa minit pagi ini dan akan bertemu semula esok.

Beliau tersenyum lebar ketika menerima ucapan tahniah atas pelantikannya.

"Terima kasih banyak tetapi lebih elok saya tidak memberi komen sehingga mendapat surat rasmi yang saya rasa akan menyusul sehari dua lagi.

“Jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya memberikan komen, terima kasih kerana menunjukkan minat,” kata peguam terkemuka itu kepada wartawan yang menunggu di pejabatnya sejak pagi.

Peguam berusia 66 tahun itu akan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sedang bercuti selama sebulan.

Ditanya sama ada beliau akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam negara di Putrajaya esok, Thomas berkata ia akan mengambil masa beberapa hari.

Saya tidak akan berada di pejabat pagi esok seperti yang telah saya nyatakan. Perlu beberapa hari untuk pelaksanaan (proses pelantikan).

“Apa yang pasti saya tidak akan ke pejabat esok,” katanya.

Ditanya mengenai ucapan tahniah oleh Mohamed Apandi terhadapnya atas pelantikan itu, Thomas berkata “terima kasih, terima kasih”.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS