Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan dikecam 2 bekas ketua pengarangnya
Diterbitkan:  Jun 5, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Dua bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia hari ini menyatakan rasa kesal terhadap akhbar yang pernah mereka pimpin kerana masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh prasangka".

Dalam satu kenyataan keras hari ini, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Johan Jaaffar berkata akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen berbahaya untuk sebuah negara pelabagai kaum seperti Malaysia.

Memetik isu terkini mengenai pelantikan peguam negara yang baru, mereka mengatakan, tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu serta orang Islam mengenai pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan itu.

Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.

Zainuddin dan Johan menegaskan prinsip pelantikan sepatutnya adalah “integriti di atas segala-galanya - tanpa mengira kaum dan agama”.

“Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara," kata mereka.

Mengulas lanjut pendirian rasis Utusan Malaysia, kedua-dua bekas ketua pengarang itu berkata ia telah membangkitkan rasa tidak senang rakyat khususnya di kalangan orang Melayu sendiri sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Macam terdesaknya Umno

Malahan, kata mereka Utusan Malaysia telah dipersalahkan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk Umno dan BN dalam PRU berkenaan.

Umno mempunyai saham dalam Utusan Malaysia.

“Tetapi malangnya sehingga hari ini, pimpinan editorial Utusan Malaysia semacam enggan mengakui mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu.

Zainuddin yang memegang jawatan Ketua Pengarang dari 1981 hingga 1992 manakala Johan dari 1992 hingga 1998 mengakui bahawa Umno dahulu pernah memperlihatkan kadar toleransi yang tinggi dan mengekalkan prinsip perpaduan antara kaum.

Sejak zaman perdana menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman sehingga baru-baru ini, mereka berkata, Umno tidak menunjukkan keadaan terdesak untuk memenangi hati dan minda orang Melayu.

Mereka berkata perubahan Umno amat ketara apabila sokongan orang Melayu mula terhakis, dan akhbar Utusan Malaysia hari ini mencerminkan keadaan terdesak Umno itu.

"Kami ingin mengingatkan pimpinan Utusan Malaysia bahawa dinamisme masyarakat telah berubah dan begitu juga landskap politik negara, Bumi telah bergerak di bawah tapak kaki pemimpin editorial Utusan Malaysia mungkin tanpa mereka sedari,” kata kedua-dua bekas ketua pengarang itu.

Zainuddin dan Johan berkata di Utusan Malaysia keadaannya kelihatan “business as usual” (urusan berjalan seperti biasa).

Hinggakan dalam keadaan kewangan syarikat itu yang tenat sekarang, kata mereka lagi, Utusan Malaysia masih enggan berubah untuk menarik pembeli dan meningkatkan pendapatan iklan.

“Kami menggesa pimpinan editorial Utusan Malaysia untuk keluar dari kepompong mereka.

"Kita sekarang berada dalam era baru. Kita menyaksikan Malaysia baru. Menafikan kenyataan ini adalah satu kesilapan yang amat besar bagi akhbar itu,” kata mereka.

Zainuddin dan Johan berkata pada waktu media mendapat kebebasan baru, Utusan Malaysia tidak sepatutnya membenarkan dirinya dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk agenda buruk mereka bagi melemahkan kerajaan yang ada.

- Bernama

Lihat Komen
ADS