Samy Vellu dirawat di IJN
Bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan di situ selepas muntah tengah hari tadi, kata setiausaha akhbarnya Datuk E Sivabalan.
Beliau berkata Samy Vellu, 82, akan diletakkan di bawah pengawasan doktor selama beberapa hari sehingga keadaan kesihatanya kembali pulih.
"Tun datang ke pejabatnya di KL Sentral selepas menghadiri majlis keluarga yang diadakan di rumahnya hari ini.
"Kemudian dia muntah semua yang dimakannya sebelum itu dan saya menghantarnya ke IJN untuk melakukan ujian lanjut. Doktor telah melakukan semua ujian yang sepatutnya.
"Saya dapat beri jaminan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan beliau kini baik. Beliau hanya perlu berehat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas mesej yang tular di media sosial media bahawa Samy Vellu mengalami serangan jantung.
Sivabalan berkata keluarga Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya supaya cepat sembuh dan mereka yang menghubungi untuk bertanyakan keadaan kesihatan Duta Khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan Asia Selatan itu.
- Bernama

