Pemuda PKR: Selangor perlukan MB dari golongan muda
Ketika rakyat Selangor sedang menunggu pengumuman menteri besar baru menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sayap Pemuda PKR menyatakan harapan agar jawatan itu diisi oleh pemimpin muda.
Menteri besar baru dijangka dilantik pada 19 Jun selepas sambutan Aidilfitri dan ketika ini masih belum ada nama yang disahkan akan menjawat jawatan itu.
Anggota Parlimen Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin menyifatkan pemilihan pengganti Mahamed Azmin sebagai sesuatu yang mencabar memandangkan prestasi cemerlang bekas menteri besar itu dalam menerajui Selangor sejak 2014.
"Penggantinya perlulah seorang yang berkaliber tinggi, bertenaga dan cepat belajar seperti Mohamed Azmin," kata Afif yang juga merupakan timbalan ketua Pemuda PKR dalam wawancara bersama Malaysiakini di Pulau Pinang.
Tambah Afif, cabaran lebih hebat bakal dihadapi dalam mentadbir Selangor meskipun penggal ini merupakan yang ketiga bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas memenangi majoriti besar 51 daripada 56 kerusi DUN dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
"Rakyat akan mempunyai jangkaan dan harapan yang lebih tinggi terhadap kerajaan negeri dalam pentadbiran agar rakyat dapat menerima paling banyak manfaat daripada kerajaan pusat yang baru," katanya.
Pemimpin muda berkebolehan
Azmin melepaskan jawatan menteri besar selepas dilantik menjadi menteri hal-ehwal ekonomi dalam kabinet dan telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Afif berkata, PKR mempunyai banyak pemimpin muda yang berkebolehan bagi menjawat jawatan itu.
"Kita mempunyai ramai calon berkaliber bagi jawatan menteri besar Selangor.
"Nama-nama yang ada dalam senarai PKR merupakan antara yang terbaik.
"Bagaimanapun, kalau boleh, kita dalam sayap Pemuda harap pengganti adalah dari kalangan golongan muda," katanya.
Afif enggan mengulas lanjut calon muda yang dimaksudkannya namun menyatakan sokongan kepada ADUN Sungai Tua Amirudin Shari, 38, yang juga merupakan anggota jawatankuasa pusat PKR.
Amirudin yang dikatakan sebagai calon utama bagi jawatan itu kini juga merupakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan.
Dua nama lain dalam senarai bagi jawatan itu adalah Naib Presiden PKR Prof Dr Shaharuddin Baharuddin dan ADUN Ijok Dr Idris Ahmad.
Mohamed Azmin mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam namun dikatakan tidak mengemukakan sebarang nama bagi penggantinya kepada pihak istana.

