PAS pilih anak tempatan, kempen sederhana
PAS akan memilih anak tempatan sebagai calonnya dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan serta menggunakan pendekatan sederhana dalam berkempen
Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, penilaian teliti sedang dibuat untuk memilih calon yang sesuai.
" Kita akan pastikan calon yang terpilih adalah orang yang boleh diterima oleh pengundi Pengkalan Pasir," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu.
Beliau menekankan, PAS akan berkempen secara sederhana dan berperingkat-peringkat untuk menyaingi kempen Umno yang semakin aggresif sekarang ini.
" Kita tidak mempunyai kedudukan dan kemewahaan kewangan seperti Umno. Jentera dan kempen kita telah digerakkan secara berperingkat-peringkat sejak awal minggu ini,"katanya.
Beliau mengulas kehadiran ramai pemimpin-pemimpin Umno termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis sambutan Aidil Fitri Umno bahagian Pasir Mas hari ini.
Majlis yang diadakan di Stadium Mini Pasir Mas itu diserikan dengan penyanyi sensasi Mawi dan kumpulan nasyid Rabbani.
Sebelum itu tokoh-tokoh Umno lain seperti Datuk Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah "berkampung" di Pasir Mas bagi menghadiri pelbagai majlis amal.
Kamaruddin berkata, PAS percaya rakyat di DUN Pengkalan Pasir tidak mudah terpengaruh atau terpedaya dengan kebanjiran tokoh-tokoh Umno yang menghulurkan pelbagai janji, kemudahan dan bantuan kewangan itu.
Beliau yakin pengundi akan menilai dan meghargai prestasi serta rekod kerja wakil rakyat dan kerajaan PAS selama ini.
Setiausaha Agung PAS itu juga memberitahu satu mesyuarat penyelarasan jentera pilihanraya PAS Kelantan dengan PAS negeri-negeri lain akan diadakan malam ini.
" Kita akan membincangkan soal pembahagian tugas di semua peti undi dan merangka strategi tindak balas bagi mengatasi kempen Umno,"ujarnya.
Mengenai kerjasama dengan parti pembangkang lain, Kamaruddin mengalu-alukan kesediaan Parti Keadilan Rakyat serta penasihatnya, Datuk,Seri Anwar Ibrahim untuk " turun padang" membantu calon PAS.
Penamaan calon pilihanraya kecil Pengkalan Pasir akan dibuat pada 27 November ini dan pengundian pada 6 Disember. Pilihanraya ini diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar.