Portal forum teknologi Lowyat.net menyatakan kebimbangan berhubung sisa data apa yang sebelum ini didedahkan sebagai salah satu kebocoran maklumat paling besar dalam sejarah negara.

Hari ini portal berkenaan melaporkan 'perayap web' (crawlers) mereka pada Januari lalu mengesan pihak tertentu menjual maklumat peribadi pelanggan siaran TV berbayar Astro.

"Pangkalan data berkenaan adalah milik pelanggan Astro IPTV, dan pihak yang membuat tawaran itu mendakwa mereka mempunyai sehingga 50,000 butiran pelanggan, termasuk nama pelanggan, alamat pemasangan, nombor MyKAD, nombor telefon, peralatan dan nombor ID portal, serta maklumat pakej langganan.

"Harganya? RM3,000 untuk 10,000 rekod, yang sama juga dengan RM0.30 untuk maklumat seorang pelanggan," kata laporan berkenaan yang menambah bahawa tawaran itu juga turut memaparkan 5,000 contoh rekod yang dibocorkan di atas talian.

Susulan itu, kata portal berkenaan, pihaknya sudah memaklumkan Astro dan memberi jaminan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi melindungi maklumat peribadi pelanggan.

Portal itu turut menjelaskan Astro ketika ini sudah berjaya memadam jejak data berkenaan daripada pautan yang didedahkan kepada syarikat berkenaan namun tidak membuat laporan rasmi atau memaklumkan pelanggan mereka tentang kebocoran maklumat berkenaan.

"Memandangkan kebocoran itu sudah diatasi, kami tidak akan menyiasat lebih lanjut isu ini," katanya.

[Baca berita penuh]