Hisham: Tetap bersama Umno, saya takkan lari
Pemangku timbalan presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau tidak akan meninggalkan perjuangan parti sama ada ada mempunyai jawatan atau tidak.
“Jawatan tidak penting. Yang penting ialah gandingan sesama kita.
“Saya tidak akan lari daripada apa jua keadaan, ada atau tiada jawatan.
"Saya akan tetap bersama Umno,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata setakat ini belum membuat keputusan menjelang pemilihan agung tahunan Umno pada 30 Jun depan.
“Apa jua keputusan berkaitan jawatan saya bersandar kepada apa yang saya anggap terbaik untuk Umno.
“Dalam kita nak bertanding, janganlah kita melemahkan Umno dengan menuding jari dan menyerang sesama kita,” katanya.
Minggu lepas, Malaysiakini melaporkan beliau mungkin tidak bertanding langsung dalam pemilihan kali ini, termasuk mempertahankan kerusi naib presiden.

