Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek SSER: PM hantar Guan Eng, SPRM ke China
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), ke China bagi mengadakan rundingan dengan pihak yang berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

"Kaedah pembayaran projek itu adalah berdasarkan tahap durasi projek (timing milestone) dan ianya akan dikaji semula," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kabinet, hari ini.

Ditanya sama ada wang daripada projek itu mungkin digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Perdana Menteri berkata: “Kita akan menyiasat tetapi ideanya ia harus dibayar berkala mengikut masa, dalam hal kemajuan projek adalah salah.

“Justeru, kita akan mengkaji kenapa sistem ini dipersetujui oleh kerajaan Malaysia sewaktu kerajaan Datuk Seri Najib Razak (bekas perdana menteri)

“Mereka membuat keputusan di dalam mesyuarat kabinet, tetapi keputusan ini adalah salah dan memberi kesan kepada kita dan tidak baik kepada negara dan kerajaan,” tambahnya.

Semalam, Lim mendedahkan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MoF), terbabit dalam skandal dikaitkan dengan MPP dan TSGP yang diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.

“Skandal RM9.4 bilion, di mana bayaran dibuat berdasarkan tempoh dan bukan berdasarkan kerja progresif yang dilaksanakan menyebabkan RM8.3 bilion dibayar atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek walaupun hanya 13 peratus siap dilaksana,” kata Lim.

Perkara itu ditemui dalam ‘fail merah’ di kementerian berkenaan dan ia disyaki ada kaitan dengan 1MDB.

Fail berkenaan sebelum ini dikatakan hanya boleh diakses pihak tertentu dan tidak didedahkan kepada pegawai dan juruaudit kementerian berkenaan.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016. Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi SSER. Irwan Serigar meletak jawatan pada 23 Mei lalu.

SSER berjaya memperoleh pembiayaan daripada China Exim Bank berjumlah 85 peratus daripada nilai projek pada 22 Mac 2017. Baki 15 peratus daripada dana yang diperlukan akan dikumpul melalui terbitan sukuk.

Kedua-dua pinjaman China Exim Bank dan sukuk itu diperoleh dengan jaminan kerajaan Persekutuan.

Sewaktu taklimat yang diberikan kepada pegawai Perbendaharaan pada 28 Mei lalu, SSER melaporkan bahawa projek tiga tahun itu dimulakan pada April 2017.

 

Lihat Komen
ADS