Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Apa Kadir mahu hapuskan sistem Raja-Raja Melayu?'
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 6:39 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan sama ada pemimpin BERSATU, Datuk A Kadir Jasin berhasrat untuk menghapuskan sistem Raja-Raja Melayu?

Beliau berkata demikian ketika mengulas catatan di Facebook Kadir bulan lalu mengenai reaksi di media sosial mengenai pemimpin politik dan institusi diraja selepas pilihan raya umum baru-baru ini - termasuk kelewatan upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya nak bertanya kepada A Kadir Jasin, apakah yang dimaksudkan oleh beliau berkenaan reformasi institusi yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan?

“Dalam konteks angkat sumpah perdana menteri baru-baru ini, ia bukan satu perkara yang berlaku setiap hari, dan tindakan untuk mengangkat sumpah perlu dengan penelitian yang rapi agar tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan keputusan itu kemudian hari.

“Dan ini sudah tentu melibatkan kertas persetujuan dan Yang di-Pertuan Agong perlu melihat semua sudut sebelum proses ini berjalan dengan lancar.

“Justeru, Kadir perlu menjelaskan dan lebih jujur dalam tindakan beliau. Adakah beliau mahu menghapuskan sistem Raja-Raja Melayu?” soal Razlan.

Ketika dihubungi, Kadir enggan mengulas bidasan Razlan itu.

"Apa yang saya tulis dalam blog sudah mencukupi buat masa ini, manakala yang lain adalah terbuka untuk perbincangan," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam hantaran di Facebook pada 27 Mei, Kadir berkata dalam dunia "tanpa sempadan" hari ini, tiada pihak yang terlepas daripada pandangan umum.

"Dalam kaitan inilah kita melihat peranan raja-raja sebagai sebahagian daripada berpelembagaan.

"Justeru, amat penting dan relevan kita mengkaji kedudukan dan perasaan mereka dalam konteks reformasi institusi yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan," tulis Kadir, yang juga adalah jurucakap Majlis Penasihat Kerajaan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, meminta pihak berkuasa untuk menyiasat Kadir berhubung tulisannya di Sinar Harian, yang disiarkan pada hari yang sama dengan hantarannya di Facebook.

Beliau mendakwa bahawa artikel itu mengandungi unsur-unsur hasutan.

Mengulas isu itu, bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menasihatkan Annuar supaya tidak menentang realiti baru di negara ini.

“Cukup-cukuplah cari populariti Istana dengan mengugut rakyat atas feudalisme melulu.

“Malaysia Baru tapi awak masih hidup di era Hang Tuah,” ciapnya di Twitter.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS