MCA Pastikan Pengundi Cina Sokong BN

   

MCA akan memastikan kira- kira 1,000 anggota partinya yang menjadi pengundi dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir akan mengundi calon Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata MCA sedang merangka beberapa strategi bagi mencapai hasrat itu.

"Undi anggota MCA boleh menjadi kuasa penentu kemenangan calon BN yang akan bertanding di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menemui pemimpin-pemimpim MCA Kelantan di bangunan MCA di Kota Bharu.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Wira Dr Fong Chan Onn yang juga Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan.

Menurut laporan Bernama, Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata MCA akan berusaha sedaya upaya bagi menjamin kemenangan BN.

Beliau berkata ini termasuk mengarahkan pemimpin peringkat negeri Kelantan turun padang memberi penjelasan kepada setiap anggotanya bahawa mereka akan menerima kesan buruk sekiranya memilih calon Pas.

Katanya turut dikerah penceramah dan aktivis masyarakat yang berpengalaman dari seluruh negeri supaya membantu jentera pilihan raya MCA yang sudah pun dibentuk.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In