Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan mengkaji semula acara-acara pelancongan dan komuniti yang telah dirancang untuk diadakan sepanjang tahun ini ekoran perubahan yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin berkata kajian semula ini dibuat untuk membuka ruang kepada acara-acara baharu selain permintaan sebahagian penganjur untuk menangguhkan acara-acara mereka.

“Selepas pilihan raya lepas, ada juga penganjur acara baharu yang datang untuk mengambil bahagian (menganjurkan acara pelancongan) dan (kalangan penganjur) yang sedia ada meminta kami tundakan (acara mereka),” katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan LADA di Langkawi malam tadi.

Menurutnya 33 acara pelancongan dan 33 lagi acara komuniti telah dirancang LADA untuk penganjuran tahun ini dan kajian semula tersebut tidak akan melibatkan pengurangan jumlah acara dengan adanya pembabitan penganjur baharu.

“Pada bulan depan (Julai), kami akan mengadakan satu acara kemuncak baharu iaitu RunKawi, iaitu satu larian malam sejauh 21 kilometer yang juga akan menjadi acara seumpamanya yang pertama di Malaysia,” katanya dan beliau menjangka acara ini dapat menarik kira-kira 800 peserta.

Azizan berkata acara pasaran pelancongan terbesar Asia Pasifik, PATA Travel Mart 2018 akan juga diteruskan September ini dan dijangka dapat menarik kira-kira 3,000 pemain industri pelancongan dan pengamal media dari seluruh dunia.

“Bukan sahaja untuk Langkawi, PATA Travel Mart ini akan menjadi acara pelancongan yang ulung untuk industri pelancongan Malaysia,” katanya dan menambah 88 organisasi sudah mengesahkan untuk mengadakan pameran dalam acara itu yang akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri pada 12 hingga 14 Sept ini.

Menurutnya seramai 40 peserta dalam kalangan pengamal media antarabangsa dan pengusaha pelancongan luar negeri di PATA Travel Mart ini juga akan dipilih untuk menyertai lawatan pelancongan khas ke beberapa tempat tarikan di Kedah dan Perlis.

Beliau berkata lawatan pelancongan ini akan dapat mendedahkan lagi tarikan unik di kedua-dua negeri ini kepada pelancong antarabangsa dengan menjadikan Langkawi sebagai pintu masuk bagi mereka.

“Saya harap semua pemain industri pelancongan di seluruh Malaysia akan dapat mengambil manfaat daripada Langkawi menjadi hos untuk PATA Travel Mart kali ini,” katanya dan ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah acara pemasaran pelancongan yang dianggap antara yang terbesar di dunia.

- Bernama