Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan ganggu institusi Raja Melayu, langkah mayat kami dulu'
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 10:48 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Pertubuhan pendesak Melayu PERKASA memberi amaran keras terhadap pihak yang dilihat mengancam institusi diraja.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) PERKASA, Amini Abdullah, melalui kenyataan hari ini mendakwa terdapat pihak yang menggesa agar sistem monarki dan digantikan dengan pemerintahan republik.

Amaran itu dibuat selepas pemimpin pusat Parti Peribumi Bersatu (BERSATU) Datuk A Kadir Jasin mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong melalui tulisan di blognya yang menyentuh soal pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

"PERKASA percaya bahawa senario ini dicetuskan bertujuan untuk menggugat kredibiliti dan kewibawaan institusi Raja Raja Melayu ekoran kontroversi pelantikan Peguam Negara yang baharu iaitu Tommy Thomas.

"PERKASA berpandangan penularan perbelanjaan peribadi dan pengurusan Yang di-Pertuan Agong dan gesaan-gesaan agar dihapuskan sistem monarki dan cadangan diperkenalkan pemerintahan berrepublik adalah satu tindakan kurang ajar, biadap, tidak bertatasusila dan tidak menunjukkan ketaatsetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sistem demokrasi berparlimen," kata Amini.

Amini turut mempersoalkan sama ada pendedahan dan gesaan itu mempunyai motif jahat.

"Adakah kerajaan Pakatan Harapan ingin mengajak rakyat untuk memerangi Yang Di-Pertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu?

"Permainan politik ala Mafia ini telah menyebabkan ramai bukan Melayu yang telah berani secara terbuka mengkritik Agong dan Raja-raja Melayu terutamanya dalam media sosial dan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan ke atas Yang Di-Pertuan Agong serta Raja Raja Melayu," katanya.

Justeru, tambah Amini, PERKASA memberikan amaran kepada semua pihak agar menjaga adab dan tetap setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Dalam tulisan Kadir itu juga, Kadir menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu perlu yakin bahawa kedudukan mereka tidak akan terjejas dengan pelantikan Tommy Thomas.

"Mengapa tidak? Ia dijamin oleh perlembagaan, diberikan kemewahan dan malah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) cium tangan mereka,” tulisnya.

Kadir turut mendakwa sejak Januari 2017 sehingga April 2018, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong antaranya adalah untuk kemudahan, kediaman dan istana, barangan peribadi, pengangkutan, pengiring, lawatan luar negara, gaji kakitangan istana dan pakaian serta barangan upacara.

Sementara itu, PERKASA menegaskan bahawa pihaknya akan bertindak agresif terhadap pihak yang mengganggu Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu.

"PERKASA akan tegak berdiri sehidup semati bersama Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan institusi raja raja Melayu.

"PERKASA menggesa agar semua orang Melayu bangkit menyatakan sokongan serta taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yang Di-Pertuan Agong serta institusi Raja Raja Melayu. Jangan ganggu Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu. Langkah mayat kami dahulu," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang tidak mengulas lanjut perkara itu sebelum ini berkata beliau belum membaca artikel yang ditulis Kadir, namun memberi jaminan kerajaan akan meneliti perkara itu.

Ketua Umum PKR pula berkata tidak seharusnya mengeluarkan dakwaan terhadap Majlis Raja-Raja Melayu tanpa diberi peluang untuk penjelasan.

Berdasarkan maklumat perbendaharaan negara, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lihat Komen
ADS