AGC akan dapatkan arahan KDN berhubung semakan larangan buku Zunar
Pejabat Peguam Negara (AGC) akan mendapatkan arahan lanjut dari Kementerian Dalam Negeri mengenai kemungkinan menarik balik larangan yang diwartakan terhadap buku "Sapuman - Man of Steal" karya kartunis politik Zunar.
Ini dinyatakan oleh peguam Zunar N Surendran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pada mulanya, merit cabaran kartunis itu terhadap larangan tersebut sepatutnya didengar hari ini.
Ini berikutan keputusan mahkamah memberikan kebenaran untuk mencabar larangan awal tahun ini.
Peguam kanan persekutuan Muzilah Mohd Arshad memaklumkan kepada Hakim Datuk Azizah Nawawi mengenai keputusan AGC itu, ketika beliau bertemu dengan hakim di kamarnya, bersama dengan peguam Zunar Surendran dan Latheefa Koya.
Berikutan itu, Hakim membenarkan pendengaran hari ini ditangguhkan kepada 9 Ogos, sementara menunggu perkembangan selanjutnya.
Sementara itu, Zunar, yang nama sebenarnya Zulkiflee Anwarul Haque, menyeru kerajaan Pakatan Harapan baru segera memenuhi janjinya untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

