Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismai se​ring dilihat sebagai individu​ yang ​dibayangi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipenjara, wanita berusia 65 tahun itu menggalas pelbagai tugas termasuk menjadi presiden ​PKR ​dan ketua pembangkang.

Dalam wawancara bersama Al-Jazeera pada Mei 2017, Wan Azizah juga memberitahu media antarabangsa itu bahawa beliau tidak kisah ​menjadi 'pemanas kerusi' (seat warmer) agar Anwar dapat menjadi perdana menteri​ kerana beliau merasakan ketua umum PKR itu layak untuk jawatan berkenaan. ​

Bagaimanapun,  ​Wan Azizah yang kini merupakan timbalan perdana menteri dan anggota parlimen Pandan itu kelihatan lebih tegas.

​Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Wan Azizah turut menegaskan bahawa beliau kini bukan hanya sekadar 'pemanas kerusi'.

"Saya ada ditanya sama ada saya ini hanya 'seat warmer' atau pemanas kerusi. Saya angkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri bukan (sebagai) pemanas kerusi," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya.

Selepas dilantik menjadi timbalan perdana menteri, Wan Azizah dengan tegas memberitahu beliau bukan boneka politik.

Meskipun mengakui ada melakukan perbincangan dengan suaminya itu, namun Wan Azizah berkata ia turut dilakukan bersama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) yang lain.

"Saya bukan boneka. Memanglah saya ada berbincang (bersama Anwar), bohonglah kalau saya cakap tak berbincang.

"(Tetapi) saya berbincang juga dengan sahabat-sahabat yang lain seperti Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu...," katanya lagi.

Sebelum ini, ibu kepada enam orang anak itu dikatakan tidak mendapat 'perkenan' Sultan Selangor untuk dilantik menjadi menteri besar Selangor kerana baginda enggan adanya pemimpin 'kawalan jauh'.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah mempertikaikan kebolehan Wan Azizah untuk menjadi menteri besar Selangor pada 2014. Ketika itu PAS masih bersama Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, mengulas mengenai perkara berkenaan, Wan Azizah berpendapat wanita sebagai pemimpin bukan satu isu dan beliau bersyukur kerana rakyat Malaysia kini dapat menerimanya memimpin negara.

"Ada juga pandangan yang konservatif, ya, wanita ini ada hadnya tidak boleh jadi imam dalam solat, tapi yang lain saya rasa tiada hadnya.

"Dalam al-Quran juga ada kisah ratu Balqis, yang jadi pemerintah pada masa itu.

"Saya tak rasa ia (wanita jadi pemimpin) satu isu. Saya rasa bangga sebab saya mewakili semua wanita di Malaysia dan ini juga telah diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Saya rasa ini tanggungjawab, suatu yang telah ditugaskan kepada saya dan (ia) harapan seluruh kaum wanita di Malaysia.

"Saya rasa terhutang kepada rakyat Malaysia, ini sesuatu yang saya kena buat sedaya upaya selagi ada hayat," ujarnya.

Bercakap mengenai perasaannya ketika di awal pelantikan sebagai timbalan perdana menteri, Wan Azizah mengakui beliau sedikit kekok namun berjaya mengatasi rasa gementar.

Ini kerana, katanya, beliau sebelum ini seorang doktor terlatih dan menjadi kewajipan untuk mengatasi rasa gementar.

"Kekok itu adalah sikit. Saya biasa jadi isteri kepada timbalan perdana menteri, jadi ada rasa kekok sikit. Gementar itu tidak sebab saya dilatih sebagai doktor," katanya tersenyum.

Berikut merupakan wawancara Malaysiakini bersama Wan Azizah yang bercakap mengenai perancangannya sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

​Petikan ini juga dibuat sedikit suntingan bagi memudahkan pembaca.

Setelah menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, ada tak dasar baru yang ingin dibawa?

Dasar baru, tidak. Tetapi perlu menambahbaik kecekapan, keberkesanan, akta-akta baru atau perbaiki akta-akta lama supaya ia menjadi lebih berkesan terutamanya akta berkaitan gangguan seksual kanak-kanak.

Mungkin kesedaran perlu ditingkatkan. Kita ada mangsa-mangsa yang terlepas pandang, yang tak diberi perhatian sewajarnya. Ada yang kronik, baru nak ambil tindakan.

Kita nak kepekaan bukan sahaja daripada keluarga, jiran, guru tetapi ia hak kanak-kanak yang mesti diberikan supaya setiap dari kita tahu bahawa kanak-kanak adalah masa depan bersama.

Isu gangguan seksual kanak-kanak ini adalah satu daripada isu yang saya nak berikan perhatian.

​Adakah pihak kementerian wanita bercadang untuk melakukan food stamps (kupon makanan)?

Memang kita ada bincang tetapi food stamps ada kelemahan juga. Kena ada syarat-syarat. Kita mesti hadkan supaya ia untuk membeli keperluan asas, makanan bayi, dan makanan berkhasiat.

Kita ada sistem e-kasih dan sistem mykasih yang tidak menggunakan wang. Sekarang ini Jabatan Kebajikan ada juga beri wang tetapi cashless (nirtunai) lebih baik. ​

​Bagaimana untuk memberi galakan kepada wanita untuk terlibat dalam industri kolar putih?​

Kita memang ada sasaran kita untuk tingkatkan lagi permintaan terutama bagi kerjaya-kerjaya yang lebih mencabar, dalam membuat keputusan. Kita ada latihan dan kapasiti itu yang penting.

Saya ada dapat sedikit taklimat dan kita akan perhalusinya, yang penting adalah kapasiti supaya wanita-wanita bukan sahaja diberi peluang untuk mendapat pendidikan tinggi hingga yang paling tinggi. Selepas itu kita serap dalam tenaga kerja.

Apabila mereka ini ada, dasar supaya wanita diberi ruang tanpa ada berat sebelah akan diwujudkan supaya mereka dapat memasuki pasaran dengan kerja yang lebih tinggi dan diterima di sektor korporat.

Bagaimana pula sekiranya ada wanita yang ingin bekerja menjadi pemandu bas contohnya, adakah kementerian akan beri galakan juga?

​Saya kira itu belum lagi sebab kerja-kerja kasar, buruh kasar ini... wanita ada naluri keperempuanannya, kita kena ambil kira. Tapi kalau dia terpaksa, dia memang ahli bina badan ke, dia memang layak jadi bolehlah.

Kalau ada daya tahan lasak untuk itu, kenapa tidak kalau itu diperlukan?

Sebelum ini HARAPAN bercadang memberi 30 peratus kuota kepada wanita dalam kabinet dan kini nampaknya perkara itu tidak tercapai, adakah HARAPAN akan memastikan ia dicapai pada masa akan datang?

Belum. Kabinet belum penuh lagi. Tunggu dulu. Tun ada kata kepada kami semua yang dia akan ambil kira wanita (termasuk) di daerah, parti. Sabar kejap. Tunggu dan lihat.

Lihat Komen
ADS