Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Bukit Kayu Hitam menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM100,000 dalam satu sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam 9 malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Aksem SAC Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata dua suspek berusia 40-an itu ditahan ketika cuba menyeludup masuk sejumlah mercun dan bunga api ke negara ini menggunakan dua jenis kenderaan.
“Anggota Aksem yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menahan dua kenderaan yang dipandu kedua-dua suspek tersebut selepas kenderaan yang dinaiki kelihatan mencurigakan.
“Siasatan awal mendapati mereka menggunakan kesempatan sewaktu solat terawih serta menggunakan laluan belakang ICQS sebagai cara untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa...kerana upah RM2,000 setiap seorang, mereka sanggup melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Megat Mohamad Aminuddin berkata rampasan itu merupakan kali keempat sepanjang Ramadan ini kerana mercun dan bunga api sememangnya mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri nanti.
Beliau berkata kedua-dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 manakala barangan serta kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut.
- Bernama
