Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di mata Majlis Belia Malaysia (MBM) kekalahan Umno pada pilihan raya umum (PRU) lalu belum dapat membawa pergerakan pemuda parti itu mencari pembaharuan.

Diyakini bakal mendapat ketua baru, kata MBM, Pemuda Umno setakat ini belum menampakkan tanda-tanda mahu berubah.

Naib Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata tanggapan itu dibuat berdasarkan nama-nama yang menawarkan diri mahu mengisi jawatan dalam Pemuda Umno.

Katanya, salah seorang pemimpin yang wajar diketengahkan ke tempat tertinggi Pemuda Umno ialah Shahril Hamdan.

“Saya secara peribadi melihat Shahril Hamdan sepatutnya pergi (bertanding) ke nombor satu sebab dia boleh menyaingi Syed Saddiq yang kelihatan sedang diminati,” katanya merujuk kepada Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jufitri ditemui di Menara Ilham, Kuala Lumpur, hari ini selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di situ.

Dia diminta mengulas langkah beberapa tokoh Umno yang mencalonkan diri untuk menjadi calon Ketua Pemuda Umno meskipun sudah berusia lebih 40 tahun.

Penyandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut akan merebut salah satu kerusi naib presiden.

Perhatikan faktor umur 

Tindakan Khairy itu mendorong tiga individu menawarkan diri untuk menjadi penggantinya.

Seorang daripada mereka ialah Ketua Umno Sungai Besar yang kini menjadi buruan polis, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Posisi ketua Pemuda Umno juga menarik minat bekas timbalan menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun yang sebelum ini menjadi naib ketua.

Untuk jawatan exco juga menarik perhatian apabila penulis blog yang didapati bersalah kerana memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diarah membayar ganti rugi RM800,000 Wan Muhammad Azri Wan Deris turut bertanding.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata pencalonan Shahril yang juga ahli Jawatankuasa Pemuda Umno itu dapat mengimbangi suara orang muda.

“Saya lihat untuk mengimbangi suara orang muda itu beliau (Shahril) layak.

“Sokongan masih ada pada Umno, cuma perlu kepada tokoh-tokoh muda yang dilihat mampu menjanjikan (harapan baru).

"Orang muda diperlukan untuk mengetuai sayap Pemuda supaya dia boleh bawa idea baru.

“Shahril juga tidak kelihatan terlalu bersekutu dengan kepimpinan yang lepas kerana masih lagi muda dan banyak idea baru dan kelihahatan progresif,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan MBM, Mohamad Rizan Hassan (gambar) berkata had umur bagi jawatan Ketua Pemuda Umno haruslah ditetapkan 35 tahun ke bawah.

“Kalau kita bercakap tentang belia ini adalah sebaiknya (calon Pemuda Umno) yang berumur 35 tahun ke bawah.

“Kalau tidak ada calon sekalipun, bawah umur 40 tahun masih boleh diterima tetapi kalau dah 45, 48 tahun itu saya rasa ia tidak lagi membawa suara belia,” katanya.

Kata Mohamad Rizan, untuk menjadi seorang pemimpin belia seseorang itu mestilah boleh dipercayai dan diyakini oleh orang muda.

“Kalau bersifat populis saya tak yakin mereka benar-benar berada dalam keadaan mood orang muda menyokong mereka.

“Gerakan politik dunia ini telah ada perubahan. Jadi, dengan adanya perubahan pemerintahan negara ini sebenarnya satu mesej yang jelas kepada ahli politik bahawa selain daripada mereka rasa kuasa rakyat itu tinggi, mereka juga tahu di Malaysia kuasa orang muda itu adalah penentu kelangsungan negara kita ini,” katanya.

Pendaftaran pencalonan untuk pemilihan Umno bagi semua jawatan dalam parti telah bermula awal Jun lalu dan akan berlangsung sehingga 17 Jun ini melalui konsep yang terbuka tanpa perlu melalui pihak yang lain.

Lihat Komen
ADS